Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JULAI – Gara-gara ‘ganjaran’ $20 untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya berkaitan pengisytiharan kastam, seorang pekerja warga Filipina syarikat ejen penghantaran telah dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan selepas mengaku bersalah menawarkan rasuah kepada pegawai kastam.
Mahkamah Majistret hari ini mendengarkan pendedahan daripada Timbalan Pendakwa Raya Rozaimah binti Abdul Rahman bahawa siasatan Biro Mencegah Rasuah ke atas Argel Sanchez David, 30, adalah daripada aduan yang dirujuk oleh Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, mengenai aktiviti rasuah di balai pengawal dan pejabat pos di Muara berhubung pengisytiharan barangan palsu.
Menurut pendedahan itu, defendan ke balai pengawal kastam dan pejabat pos Pelabuhan Muara untuk mendapatkan Borang Pengisytiharan yang diperlukan berkenaan dengan konsainan barang antara bulan September dan Oktober 2021.
Selepas menerima borang yang ditandatangani oleh pegawai kastam, defendan berjalan menuju ke kaunter pembayaran Jabatan Kastam dan Eksais Diraja di mana seorang pegawai pemeriksa kastam ditempatkan.
Di situ, defendan memberikan wang tunai $20 kepada pegawai yang bertugas, dengan meletakkan di kaunter pembayaran sebagai ganjaran untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya atas sebarang pelanggaran berkaitan kastam.
Pegawai tersebut segera melaporkan kejadian itu kepada pegawai atasan yang membawa kepada siasatan terhadapnya.
Defendan bagaimanapun mendakwa dia telah dihasut untuk memberikan wang tunai $50 kepada pegawai kastam sebagai yuran penyeliaan atau belanja untuk memastikan sebarang urusan Pelepasan Pengisytiharan Kastam berjalan lancar.
Wang tunai itu dikeluarkan dari baucar pembayaran dengan catatan “sebagai bayaran tunai untuk yuran penyeliaan… tanda penghargaan kerana melancarkan pelepasan kargo”.
Defendan seterusnya mengakui daripada memberikan kesemua wang tersebut, dia sebaliknya hanya memberikan $20 kepada pegawai tersebut.
Majistret Kanan Pengiran Hazirah binti Pengiran Haji Mohd Yusoff menangguhkan kes terhadap majikan David, Chin Chee Vun, 52, berikutan penafiannya bersubahat dengan pekerjanya, kepada 27 Julai ini untuk menetapkan tarikh perbicaraan.

