Oleh Nurdiyanah R. –
BELAIT, 28 JUN – Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria (JBKBS) telah mengenakan denda kompaun berjumlah $200 ke atas seorang individu yang dikenal pasti sebagai Otto Mario Taka kerana didapati membuang sampah berupa puntung rokok di tempat awam.
Menurut kenyataan dikeluarkan JBKBS di sini, di bawah kesalahan Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian Penggal 30, individu tersebut telah diberikan tempoh tujuh hari untuk menjelaskan denda kompaun itu dan jika didapati gagal berbuat demikian, akan didakwa di mahkamah.
Dalam Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian Penggal 30 Pindaan Baru 2021 menetapkan kesalahan membuang sampah atau sebarang kotoran di tempat awam jika didapati bersalah boleh dikenakan denda kompaun tidak melebihi $1,000 bagi kesalahan pertama; dan tidak melebihi $3,000 bagi kesalahan kedua; atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak kurang $3,000 dan tidak melebihi $9,000; dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan individu.
Manakala bagi badan-badan lain atau syarikat yang melakukan kesalahan di bawah bab yang sama, boleh dikenakan denda kompaun tidak melebihi $2,000 bagi kesalahan pertama; dan tidak melebihi $10,000 bagi kesalahan kedua; atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak kurang dari $10,000 dan tidak melebihi $30,000; dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/06/P6-WEB-Freepik-Padah_29062023.jpg)