Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 DIS – Dalam usaha memastikan persekitaran pusat Bandar Seri Begawan (BSB) sentiasa dalam keadaan bersih dan selamat, Bahagian Kesihatan Alam Sekitar, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan dan Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Bandaran BSB telah menjalankan Operasi Bersepadu Bersih di sekitar kawasan BSB, hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Bandaran BSB, di sini, hari ini, hasil daripada operasi itu, sebuah syarikat didapati melakukan kesalahan telah dikenakan kompaun $200 di bawah Bab 12(1)(a) kerana meninggalkan bekas papan tanda dan troli besi yang rosak yang diiktiraf sebagai sampah di tepi bangunan premis itu di kawasan Kampung Manggis.
Kenyataan menjelaskan bahawa dalam pemantauan yang dijalankan telah mendapati seorang warganegara Bangladesh dikenakan kompaun sebanyak $100 atas kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil Penggal 30, Seksyen 12(1)(a) kerana membuang sampah dan puntung rokok di kawasan Bangunan Komersial Kampung Anggerek Desa.
Syarikat dan individu berkenaan diberikan tempoh selama tujuh hari untuk menjelaskan kompaun.
Jika gagal membayar denda kompaun sebelum tarikh yang ditetapkan, mereka boleh didakwa di mahkamah yang mana bagi kesalahan pertama boleh dikenakan denda $1,000 manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh dikenakan denda $3,000 dan penjara tidak melebihi tiga bulan.
Jabatan Bandaran BSB mengingatkan orang ramai untuk tidak membuang sampah di tempat awam dan mengalu-alukan sebarang perkongsian maklumat kepada pihak jabatan.
Sebarang aduan dan maklumat yang berkaitan dan mencurigakan boleh disampaikan terus ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Bandaran BSB atau melalui Talian Darussalam 123, WhatsApp 8333123 atau e-mel info@123.gov.bn.