Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Seorang individu telah dikenakan denda kompaun sebanyak $100 kerana melakukan kesalahan di bawah Bab 12(1) di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian 2021 iaitu membuang sampah di kawasan Kampung Sungai Kebun.
Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, menyatakan bahawa individu berkenaan telah diberikan tempoh tujuh hari dari tarikh kompaun dikeluarkan untuk menjelaskan denda tersebut.
Jika gagal, individu berkenaan boleh didakwa ke mahkamah di mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang $1,000 dan tidak melebihi $3,000 bagi kesalahan pertama.
Bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak kurang $3,000 dan tidak melebihi $9,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
JASTRe seterusnya mengingatkan mana-mana individu, orang awam atau mana-mana syarikat untuk sentiasa menjaga kebersihan dan mengamalkan sifat bertanggungjawab terhadap kebersihan alam sekitar.


