Friday, May 9, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Padah buang sampah sesuka hati

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JAN – Sebuah syarikat dan 10 individu dikenakan kompaun apabila didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, Penggal 30 Bab 12 (1) kerana melonggokkan dan membuang sampah secara sembarangan di kawasan awam.

    Berdasarkan pemantauan rutin oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Jabatan Bandar Seri Begawan baru-baru ini mendapati kesalahan berlaku di sekitar pusat bandar, Kampung Delima, Kampung Serusop dan Kampung Batu Satu bagi kesalahan-kesalahan seperti membuang bekas bahan binaan, tong dan tin cat terpakai, puntung rokok dan sebagainya yang ditakrifkan sebagai sampah.

    Mereka yang dikenakan kompaun termasuk tiga individu warga tempatan yang didenda $100 setiap seorang. Manakala seorang warga Indonesia, tiga warga Bangladesh dan dua warga India serta seorang warga Filipina merupakan sebahagian lagi pesalah yang dikenakan kompaun dengan nilai sama.

    Syarikat yang dikenakan kompaun di bawah Bab 12 (1) (d) pula dikenakan kompaun sebanyak $500 atas kesalahan pembuangan sampah yang dilakukan.

    Individu dan syarikat tersebut dikehendaki membayar kompaun dalam masa tujuh hari dan jika gagal, akan dihadapkan ke mahkamah yang boleh membawa hukuman denda $1,000 bagi kesalahan pertama, manakala kesalahan kedua dan seterusnya dikenakan denda $3,000 dan penjara tidak melebihi tiga bulan. Sehubungan itu, jabatan berkenaan mengingatkan dan menekankan kepada syarikat binaan ditegah untuk membiarkan dan melonggokkan bekas binaan sehingga terbengkalai dan menjejaskan pandangan alam sekitar.

    Orang ramai juga disaran supaya sentiasa memastikan hal ehwal pengurusan sampah dilakukan secara teratur.

    Sampah-sarap yang dilonggokkan yang didapati semasa operasi tersebut.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda