Padah curi kamera CCTV

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JUN – Seorang lelaki warga tempatan dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, setelah mengaku bersalah atas kesalahan mencuri dan merosakkan kamera-kamera CCTV.

Pemangku Majistret Kanan Pengiran Hazirah binti Pengiran Haji Mohd Yusof menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamad Mumulyadi bin Haji Awang Muslim, 36.

Timbalan Pendakwa Raya Hajah Siti Mu’izzah binti Haji Sabli memaklumkan mahkamah bahawa defendan sedang berjalan kaki dari rumah menuju Kampung Sungai Kebun bersama rakan-rakannya sekitar Mei 2020 apabila ternampak sepasang kamera CCTV di luar kedai borong De’iyad.

Defendan menarik meja berdekatan dan menaikinya untuk mencapai dua kamera CCTV berkenaan yang kemudian dicabutnya. Defendan seterusnya meninggalkan tempat berkenaan dan menjual kamera-kamera berkenaan kepada seorang rakan pada harga $7.

Seorang jurujual menyedari kehilangan kamera-kamera berkenaan, memeriksa rakaman CCTV dan mengesan perbuatan defendan.

Pihak polis terus dimaklumkan yang membawa kepada penangkapan defendan dengan bantuan rakaman CCTV tersebut.