Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun telah dijatuhi hukuman penjara 24 bulan setelah mengaku bersalah atas kesalahan mencuri di Mahkamah Majistret, kelmarin.
Hukuman dijatuhkan oleh Pemangku Majistret Kanan, Pengiran Hazirah binti Pengiran Haji Mohd Yusof yang mendengarkan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani binti Jumat bahawa defendan pada pukul 9 malam, 18 Jun lalu berjalan di sekitar kawasan komersial di Kampung Kiulap apabila menyedari kasutnya rosak.
Defendan yang mempunyai rekod kesalahan curi sebelum ini, kemudian berjalan menuju sebuah bangunan di mana dia menaiki tangga ke tingkat satu dan berehat di sebuah sekolah tuisyen.
Kemudiannya, tertuduh melihat sepasang kasut jenama terkenal dan mengambilnya sebelum melarikan diri dari tempat kejadian dan meninggalkan kasutnya yang rosak itu.
Pada pukul 9:15 malam, pemilik kasut berkenaan yang baru menamatkan kelas malamnya di sekolah tuisyen itu menyedari kehilangan kasutnya.
Pemilik kasut tersebut segera meminta untuk melihat rakaman kamera CCTV yang dipasang di luar sekolah tuisyen berkenaan yang menunjukkan perbuatan tertuduh dan menghubungi talian 993 yang membawa kepada penangkapan tertuduh.