Padah curi krim santan

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MAC – Seorang lelaki yang mengaku bersalah melakukan curi dan percubaan mencuri kotak krim santan kelapa telah dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Hukuman terhadap tertuduh, Lim Wee Phang, 40 tahun dijatuhkan Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid yang menyifatkan tindakan tertuduh bukanlah satu penyelesaian untuk mengatasi masalah kewangan.

Dalam hal ini, mahkamah memutuskan untuk memberi hukuman berbentuk pencegahan.

Kertas pertuduhan menyebut, tertuduh pada malam 18 Mac 2020 pergi ke sebuah gudang di Perindustrian Lambak Kanan dan mencuri tiga kotak yang mengandungi 12 paket krim
santan.

Kehilangan kotak krim santan kelapa yang diletakkan di luar gudang disedari pekerja gudang pada keesokan hari ketika membuat pemeriksaan sebelum memulakan penghantaran.

Selepas memeriksa rakaman CCTV, pekerja gudang mengenalpasti identiti tertuduh yang melakukan curi itu sebagai bekas pekerja gudang yang kali terakhir bekerja pada 2017.

Dalam kejadian lain antara 22 dan 23 Mac 2020, tertuduh sekali lagi pergi ke gudang dan mengambil 12 kotak, masing-masing mengandungi 12 paket krim santan kelapa.

Kejadian curi yang berulang itu memaksa pekerja gudang untuk membuat pemantauan.

Tindakan kali ketiga tertuduh untuk melakukan curi disedari pekerja gudang yang memerhatikan CCTV pada 23 Mac 2020 sekitar jam 11 malam yang terlihat tertuduh memasuki gudang.

Pekerja itu kemudian memaklumkan kepada rakan sekerjanya, di mana mereka melihat tertuduh mengambil tiga kotak yang mengandungi krim santan.

Mereka terus menahan tertuduh dan membuat laporan polis.

Siasatan polis mendapati tertuduh telah menjual krim santan tersebut ke kedai runcit dan memperoleh $540.

Harga untuk setiap kotak yang mengandungi krim santan ialah $37.80.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Sabrina binti Haji Mahmud.