Oleh Rafidah Jumat & Normazlina M.D
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Jan – Enam lelaki termasuk tiga remaja mengaku bersalah di Mahkamah Perantaraan atas pertuduhan mencuri wang dari tabung masjid dan mencuri besi penutup longkang.
Hakim Radin Safiee bin Radin Mas Basiuni memutuskan hukuman 21 bulan penjara dan dua sebatan terhadap Mohammad Akmal Arif bin Mohammad Alinor, 23, atas kesalahan melakukan curi wang tabung masjid di Mukim Sengkurong dan juga mencuri besi penutup longkang dari tapak perindustrian Kampung Katimahar.
Sementara Mohd Adi Rahmatin Hafiz bin Moryadi, 23, dihukum 16 bulan penjara dan juga dua sebatan kerana mempunyai niat sama untuk melakukan curi di masjid itu manakala Muhammad Haziq bin Jasni, 20, dijatuhi hukuman penjara dua bulan kerana mencuri dua keping besi penutup longkang dari tapak perindustrian Kampung Katimahar.
Tiga remaja lelaki (A, B dan C) berusia 15 dan 16 tahun turut menerima hukuman masing-masing. Fakta kes menyebut, Mohammad Akmal dan Mohd Adi menurunkan A dan B di kawasan berdekatan masjid di Sengkurong pada 15 Oktober 2018 kira-kira jam 12:33 tengah malam, yang mana A dan B sebaik memasuki masjid memasukkan penyangkut baju yang telah dilekatkan dengan pelekat ke dalam tabung masjid namun gagal untuk mengeluarkan wang dari tabung itu.
A dan B kemudian beredar ke bilik pejabat masjid dan berjaya mendapatkan wang $47 dari tabung yang disimpan di dalam bilik itu. Wang tabung itu kemudian dibahagikan antara A, B, Mohammad Akmal dan Mohd Adi. Dalam kejadian lain pada 20 Oktober 2018, A sekali lagi menghubungi Mohammad Akmal untuk meminta menghantarnya dan juga C ke masjid sama.
Di dalam masjid, A dan C berjaya mengeluarkan $8 dari tabung dan memberikan $4 kepada Mohammad Akmal.
Dalam kes curi besi penutup longkang pada 11 April 2018, Mohammad Akmal dan Muhammad Haziq mengakui kesalahan mereka, yang mana mereka telah menjual besi penutup longkang itu pada harga $12 dan hasilnya dibahagi sesama mereka.
Besi penutup longkang itu dianggarkan berharga $60. Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Sabrina binti Haji Mahmud.


