TOKYO, 18 APRIL – Seorang pemandu bas di Jepun yang telah berkhidmat selama 29 tahun kehilangan pakej persaraan bernilai AS$84,000, selepas dipecat kerana mencuri tambang penumpang sebanyak AS$7.
Bandar Kyoto memecat lelaki tersebut, yang tidak didedahkan namanya, selepas dia dirakam oleh kamera keselamatan basnya mencuri 1,000 yen (AS$7) pada 2022.
Selepas dinafikan wang persaraannya yang berjumlah lebih 12 juta yen (AS$84,000), pemandu itu telah menyaman pihak bandar, namun kalah dalam perbicaraan.
Bagaimanapun, keputusan itu kemudian dibatalkan apabila mahkamah memutuskan hukuman yang dikenakan adalah terlalu berat.
Namun kelmarin, Mahkamah Agung membuat keputusan muktamad memihak kepada bandar Kyoto, sekali gus mengembalikan hukuman asal.
Mahkamah berpendapat bahawa kelakuan lelaki itu boleh menjejaskan kepercayaan awam terhadap sistem dan operasi perkhidmatan bas yang baik.
Dalam insiden asal, sekumpulan lima penumpang menaiki bas dan membayar tambang sebanyak 1,150 yen, menurut keputusan mahkamah.
Pemandu itu mengarahkan kumpulan tersebut memasukkan syiling bernilai 150 yen ke dalam kotak kutipan tambang, dan menerima wang kertas 1,000 yen dengan tangan tanpa melaporkannya dengan betul.
Walaupun telah dirakam oleh kamera, dia cuba menafikan perbuatannya ketika pertemuan bersama penyelianya. – AFP
