Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Seorang pembantu rumah warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret, kelmarin, atas pertuduhan mencuri wang majikannya.
Majistret Kamaliah Fadhilah binti Haji Ibrahim memutuskan hukuman itu terhadap Hen Sasmita, 22, yang mengaku bersalah mencuri wang $4,000 di rumah majikannya di Kampung Rimba.
Kertas pertuduhan menyebut, tertuduh pada mulanya mencuri $1,000 selepas menyelongkar almari di bilik tidur majikannya ketika majikannya bercuti ke luar negara sekitar Disember 2018. Dia kemudian meminta bantuan daripada pembantu rumah jiran untuk mengirim wang yang dicurinya kepada keluarganya di Indonesia.
Tertuduh pada bulan sama, sekali lagi bertindak mencuri wang $1,000 dalam almari majikannya dan mengirim wang itu kepada keluarganya.
Tertuduh sekali lagi mengulangi kesalahannya apabila pada Mei 2019, mencuri $2,000 selepas menyelongkar meja komputer majikannya. Dia meminta bantuan tukang kebun yang turut bekerja dengan majikannya, untuk mengirim wang itu.
Wang yang hilang itu hanya disedari oleh majikannya pada Ogos ini dan telah menanyakan kepada tukang kebun. Tukang kebun memberitahu majikannya yang tertuduh pernah meminta bantuannya untuk mengirim wang $2,000 kepada keluarganya.
Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Siti Mu’izzah binti Haji Sabli.