Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 DIS – Mahkamah Majistret hari ini telah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun ke atas seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun selepas mengaku bersalah mencuri wang melalui aplikasi mudah alih perbankan dalam talian.
Muhammad Syukri bin Abdullah Sia @ Sia Chin Chin juga diarahkan untuk membayar pampasan kepada mangsa sebanyak $10,649 dan jika gagal membayar akan berdepan tambahan tiga bulan penjara.
Muhammad Syukri sebelum ini telah mencuri wang berjumlah $10,649 dengan memindahkannya menerusi empat transaksi pada 8 dan 9 Ogos ke akaun bank yang boleh diaksesnya.
Pendakwa Nur Zahidah Farhanah Abdul Aziz mendedahkan defendan melakukannya pada 27 Julai semasa defendan tinggal bersama tuan rumah di sebuah rumah di RPN Lambak Kanan dan membantu memperbaiki telefon mangsa yang mengalami masalah.
Mangsa menyerahkan telefonnya kepada defendan dan pergi membeli makanan.

Defendan ketika memeriksa telefon mangsa terjumpa butiran akaun bank mangsa dan mencatatnya.
Setelah siap, defendan mengembalikan telefon terbabit ketika mangsa pulang.
Tidak lama kemudian, defendan mengakses akaun bank mangsa melalui telefonnya dan mendapat tahu mangsa mempunyai simpanan berjumlah $10,000.
Sehingga 8 Ogos, barulah defendan mula terdesak untuk membayar hutangnya dan memutuskan untuk mencuri daripada tuan rumahnya bagi tujuan berjudi.
Dia mula memindahkan $5,000 daripada akaun mangsa dan membayarnya ke dalam akaun ejen perjudian dalam talian dalam bank yang sama.
Kira-kira jam 4 petang, defendan mengulanginya, kali ini mengambil $4,000 dan sekali lagi membayarnya ke akaun ejen. Satu jam kemudian, defendan melakukan perkara sama membabitkan $1,500.
Defendan mengulanginya buat kali terakhir pada 9 Ogos dengan memindahkan $149 ke dalam akaun ejen.
Pada 12 Ogos, mangsa mula mengunjungi bank setelah menyedari akaun banknya hanya berbaki $50, sedangkan dalam rekod pengeluarannya terakhirnya mempunyai lebih $10,000.
Kakitangan bank kemudian membantu mangsa dan memberitahunya tentang transaksi yang tidak diketahuinya.
Tidak lama kemudian, laporan polis telah dibuat dan membawa kepada penahanan defendan. Defendan mendakwa akan membayar hutangnya dan jumlah yang dicurinya dengan hasil kemenangannya.
Siasatan polis selanjutnya mengesahkan defendan tidak memenangi sebarang permainan yang dimainnya.
Pihak pendakwaan menegaskan sekali lagi bahawa mangsa hanya menerima bayaran pencen dan baki simpanan yang ada itu dengan tiada sumber wang lain.
Lapan pertuduhan telah dikemukakan terhadap defendan, yang mengaku bersalah atas pencurian di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer.
Kes dikendalikan oleh Majistret Syaffina Shahif.

