Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mac – Akibat menggunakan pasport milik orang lain, seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda $2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Mohammed Azlan bin Haji Adol, 28, mengaku bersalah kerana menggunakan pasport milik orang lain untuk melepasi kaunter imigresen Pos Kawalan Kuala Lurah pada 4 Oktober 2015.
Dia didakwa oleh Pegawai Pendakwa Imigresen, Adi Yusra bin Haji Adanan mengikut Seksyen 12(1)(c) Akta Pasport, Penggal 146 yang dihukum di bawah Seksyen 12(1) yang sama iaitu denda $10,000 dan penjara lima tahun.
Majistret Kanan Azrimah binti Haji Abdul Rahman memberi tempoh sehingga 1 April 2017 untuk tertuduh membayar denda itu dan jika gagal akan berdepan hukuman dua bulan penjara.
Tertuduh bersama rakannya ketika itu hendak menuju ke Limbang dan sebaik melewati kaunter imigresen, tertuduh mengemukakan dua pasport Brunei kepada pegawai bertugas.
Tertuduh kemudian diberi surat untuk menghadirkan diri ke bahagian penguatkuasaan imigresen bagi siasatan lanjut sebaik pegawai bertugas menyedari ada perbezaan pada gambar pasport dan tertuduh.
Siasatan mendedahkan pasport tertuduh ketika itu disimpan oleh majikannya.
Tertuduh mengaku menggunakan pasport milik orang lain tanpa pengetahuan pemiliknya.