KUANTAN, 2 JAN – Tindakan seorang pelajar Tingkatan Enam menggunakan wang pusaka arwah ibunya membawa padah selepas pelaburan di media sosial yang disertainya tidak wujud.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata mangsa yang berusia 19 tahun mendakwa kerugian RM22,300 selepas menyertai pelaburan itu 14 Disember lepas.
Beliau berkata pelajar wanita itu mengeluarkan modal pendahuluan RM1,000 untuk mendapatkan nombor pengenalan dan kata laluan ke laman web pelaburan itu dengan dijanjikan akan menerima pulangan dalam tempoh tiga jam.
“Mangsa mendakwa semakan di laman web itu menyatakan dia telah mendapat pulangan sebanyak RM16,000, namun terpaksa membuat bayaran sebelum dapat mengeluarkan wang tersebut, menyebabkan dia menggunakan wang pusaka arwah ibunya,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Ramli berkata mangsa akhirnya menyedari pelaburan itu sebenarnya tidak wujud selepas tidak memperoleh wang dijanjikan dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera, semalam. – Bernama