Saturday, February 22, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Padah ingin menunjuk memakan diri

    Salam sejahtera kepada semua pembaca ruangan ini. Aku ingin mengongsikan tentang kesilapan yang pernah ku buat dan berharap kisah ku ini akan menjadi pengajaran untuk semua.

    Kesilapan yang ku maksudkan adalah membeli kereta mewah semata-mata ingin menunjuk-nunjuk kepada orang ramai yang kebanyakannya tidak ku kenali sehingga akhirnya membebankan diri sendiri.

    Dahulu sebelum aku masih belajar di universiti, aku teringin sangat ingin memiliki sebuah kereta mewah kerana bagi ku jika kita memandu kereta mewah, orang lain akan memandang tinggi terhadap kita.

    Selepas aku dapat pekerjaan di salah sebuah syarikat swasta, benda pertama yang bermain di fikiran ku ialah ingin membeli kereta sendiri.

    Perasaan gembira dan teruja setelah menggenggam kunci kereta baharu yang mewah tidak kekal lama.

    Gambar Pexel

    Baru pun satu tahun bersuka-suka dengan kereta baharu, masalah mula timbul. Rupanya kos untuk menyelenggarakan kereta termasuk memperbaharui cukai jalan dan lainnya sangatlah membebankan.

    Selain itu, aku juga menjadi mangsa tempat kawan-kawan untuk meminjam duit disebabkan mereka menganggap aku seperti golongan berada disebabkan aku memandu kereta mewah.

    Akhirnya kereta itu terpaksa dijual kerana bagi ku tidak berbaloi untuk nampak hidup mewah tetapi pada hakikatnya ia mendatangkan beban kepada diri sendiri.

    Jadi, saya ingin menasihatkan kepada semua untuk mengambil iktibar daripada kisah ku ini dan jangan terlalu mengikut hawa nafsu dan tidak perlulah membeli sesuatu itu, tidak semestinya kereta sahaja, dengan niat untuk menunjuk-nunjuk.

    Sudah kini baru ku menyedari bahawa tidak mengapa untuk memandu kereta biasa asalkan fikiran dan dompet kita tidak serabut. Sekian, terima kasih.

    Minul

    NASIHAT DANG MP

    Terima kasih kepada Minul berkongsi cerita ini. Ia pasti memberi pengajaran yang berharga bukan sahaja kepada diri awda, tetapi juga kepada ramai orang di luar sana yang mungkin sedang melalui situasi yang serupa atau mempunyai pemikiran yang sama tentang status dan penilaian orang lain.

    Sebenarnya, keputusan yang lebih tepat adalah ‘ukur baju di badan sendiri’. Berbelanjalah dengan mengikut kemampuan sendiri. Mempunyai kereta biasa boleh mendatangkan ketenangan sekiranya segala perbelanjaan yang terlibat masih boleh ditanggung dengan kemampuan yang kita ada. Lagipun, bukankah tujuan asal memiliki kereta adalah supaya kita selamat sampai ke tempat yang dituju?

    Namun, tidaklah salah untuk memiliki kereta mewah atau barang-barang berharga. Tidak dinafikan harta sedemikian sudah pastilah memberi keselesaan apabila memakainya disebabkan kualiti yang ada padanya.

    Selain itu, ia juga boleh dijadikan satu motivasi kepada seseorang untuk berusaha dengan lebih kuat dalam usaha untuk memilikinya. Tetapi ‘besar periuk besarlah keraknya’ kerana kereta mewah memerlukan perbelanjaan yang tinggi untuk kos penyelenggaraan seperti yang Minul ceritakan.

    Sekiranya rezeki Minul bertambah pada masa hadapan, mungkin Minul berkesempatan untuk memiliki kereta mewah semula tetapi kali ini dengan kemampuan yang lebih sepadan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda