Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MEI – Tidak menyediakan kontrak perkhidmatan bertulis kepada seorang pekerja merupakan satu kesalahan dipercayai dilakukan seorang majikan di bawah Perintah Pekerjaan 2009 semasa Operasi Kelinga 106/2023 di Kuala Belait baru-baru ini.
Operasi dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Cawangan Daerah Belait pada 22 Mei itu mendapati majikan melakukan kesalahan di bawah Bab 10 perintah tersebut, iaitu tidak menyediakan kontrak bertulis kepada pekerja di premis pembuatan roti semasa pemeriksaan dilakukan.
Menurut kenyataan dikeluarkan Jabatan Buruh di sini, jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda kompaun sebanyak $600 bagi kesalahan pertama dan $900 bagi kesalahan kedua. Bagi kesalahan ketiga ataupun jika gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.
Operasi itu bertujuan menguatkuasakan dan memastikan Perintah Pekerjaan 2009 dipatuhi oleh para majikan.
Sementara itu, pada 25 Mei lalu, semasa Operasi Kelinga 109/2023 yang dilakukan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh di dua kawasan iaitu Kampung Manggis dan Kampung Beribi, dua majikan didakwa melakukan pelanggaran di bawah Perintah Pekerjaan 2009.
Pada pemeriksaan pertama di Kampung Manggis, didapati dua kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan 2009 yang dilakukan oleh majikan. Kesalahan pertama adalah di bawah Bab 86, iaitu gagal memperoleh kebenaran tempat pekerjaan dan gagal mengatur semula penempatan pekerja tambahan.
Kesalahan kedua adalah di bawah Bab 112(2), iaitu melanggar syarat-syarat lesen pengambilan pekerja asing. Terdapat dua pekerja asing berjawatan pelayan melakukan pekerjaan jurujual dan juruwang, seorang pekerja asing berjawatan pelayan melakukan pekerjaan juruwang dan jurujual, serta seorang pekerja asing berjawatan penolong tukang masak melakukan pekerjaan tukang layan.
Sementara itu, pemeriksaan kedua di Kampung Beribi juga mendapati satu kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan 2009 yang dilakukan oleh majikan. Kesalahan tersebut adalah di bawah Bab 112(2), iaitu melanggar syarat-syarat lesen pengambilan pekerja asing.
Terdapat tiga pekerja berjawatan buruh melakukan pekerjaan juruwang dan penolong tukang masak.
Jabatan Buruh menjelaskan bahawa jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan kompaun sebanyak $600 bagi kesalahan pertama dan $900 bagi kesalahan kedua. Bagi kesalahan ketiga ataupun gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.
Jabatan Buruh mengingatkan majikan supaya sentiasa memantau kebajikan pekerja dan mematuhi kehendak Perintah Pekerjaan 2009 seperti menyediakan kontrak pekerjaan dan membayar gaji tepat pada waktunya. Majikan juga dinasihatkan agar tidak menyalahgunakan Lesen Pekerja Asing (LPA) dan melanggar peraturan dalam Perintah Pekerjaan 2009 dan juga tidak menyalahgunakan LPA dan melanggar mana-mana kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan 2009.
Orang ramai yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut, mereka boleh menghubungi Jabatan Buruh di talian, 2381848 (semasa waktu bekerja) atau 7298989 (di luar waktu bekerja).