Saturday, July 12, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Padah lantang di media sosial

    Oleh Rafidah Jumat

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Julai – Seorang kakitangan kerajaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan mengeluarkan komen berunsur hasutan berhubung dasar Persijilan Halal Kementerian Hal Ehwal Ugama.

    Shahiransheriffuddin bin Shahrani Muhammad berusia 38 tahun didakwa menerbitkan penerbitan menghasut di laman Facebook pada 16 Julai 2017, dan didakwa di bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan.

    Bagaimanapun, tidak ada pengakuan direkodkan daripada defendan yang diwakili Peguam Pengiran Khairul Nizam bin Pengiran Haji Mohd Yassin. Peguamnya memohon kepada mahkamah untuk memberi masa bagi membolehkannya berbincang dengan anak guamnya dan juga untuk mendapatkan dokumen kes daripada pihak pendakwaan.

    Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman bersetuju untuk menangguhkan sebutan sehingga 31 Ogos dan membenarkan defendan diberi ikat jamin $5,000 atau seorang penjamin tempatan.

    Majistret Hajah Ervy turut mengenakan syarat tambahan iaitu defendan tidak boleh menyiarkan mana-mana komen buruk terhadap kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam media sosial.

    Jika didapati bersalah, defendan berdepan hukuman denda maksimum $5,000 dan penjara selama dua tahun.

    Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qamarul Affyian bin Abdul Rahman.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda