Oleh Fadley Faisal –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Mahkamah Majistret baru-baru ini menjatuhkan hukuman penjara 20 bulan dan dua sebatan ke atas Haji Mohd Yazid, sementara Raudhah dipenjara 14 bulan dan Haji Mohammad Badrulkamal dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan dua sebatan kerana terlibat dalam kes mencuri dan membuka bahagian kenderaan.
Pendakwa raya Mohammad Syafi’e Habibuallah @ Ei Stafi’e bin Edi Mirhan dan Ahmad Firdaus Mohammad mendedahkan kejadian berlaku pada 24 Jun lalu, apabila Haji Mohd Yazid berusia 34 tahun dan Raudhah, 30, mencuri sebuah kenderaan dari Kampung Masin.
Selepas itu, mereka membawa kereta itu ke rumah Haji Mohammad Badrulkamal, di mana kenderaan itu dibuka untuk mendapatkan beberapa bahagian kereta.
Haji Mohd Yazid dan Raudhah didakwa mencuri kereta itu, manakala Haji Mohd Yazid dan Haji Mohammad Badrulkamal didakwa menyebabkan kerosakan pada kenderaan. Sementara itu, Haji Mohammad Badrulkamal turut didakwa membantu melupuskan kenderaan curi berkenaan.
Dalam pertuduhan berasingan, Haji Mohd Yazid juga secara tidak jujur menyalahgunakan telefon bimbit pada 11 Jun lalu.
Butiran kecurian kereta menyatakan Haji Mohd Yazid dan Raudhah telah mengunjungi rumah mangsa dengan berpura-pura mencari individu lain. Raudhah mengambil kunci kereta tanpa pengetahuan pemilik dan mereka kembali kemudian untuk mencuri kenderaan.
Semasa menjatuhkan hukuman, ketiga-tiga defendan, yang menganggur, merayu meminta hukuman diringankan.
Haji Mohd Yazid memetik bapanya yang sakit dan pengaruh negatif manakala Raudhah merasa kesal melakukan jenayah itu disebabkan pengaruh Haji Mohd Yazid.
Haji Mohammad Badrulkamal yang berusia 36 tahun pula menyebut masalah kewangan sebagai motif melakukan kesalahan itu. Bagaimanapun, mahkamah menekankan keperluan melaksanakan langkah pencegahan dan menyatakan defendan tidak menunjukkan rasa kesal.