Oleh Syahmi Hassan –

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MAC – Seorang lelaki tempatan, baru-baru ini, telah dijatuhi hukuman penjara tiga tahun empat bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berkaitan kecurian dan meludah seorang anggota polis semasa dalam tahanan.
Hakim Pengiran Hajah Norismayanti binti Pengiran Haji Ismail mendengar bahawa Pengiran Abdul Azim bin Pengiran Abdul Azis telah mencuri lima rim kereta dari sebuah rumah di Jalan Pasir Berakas pada September 2023.
Defendan turut cuba mencuri barangan dari dalam kereta yang diletakkan di Flat E-Kerajaan, Kampung Beribi pada 18 November 2019.
Pada 16 Mei 2023, defendan telah mencuri kamera CCTV dari lorong di Flat E-Kerajaan, Kampung Beribi.
Antara 31 Ogos dan 2 September 2023, defendan mencuri harta benda dari sebuah rumah di Perumahan Ekspo, Perpindahan Lambak Kanan.
Semasa berada dalam lokap di Balai Polis Bandar Seri Begawan pada pukul 4:30 petang, 21 September 2023, defendan meludah ke muka seorang konstabel polis.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Hidayatul Aeny binti Haji Zullizam turut mendedahkan bahawa semua kejadian berkaitan kecurian telah dilaporkan oleh mangsa kepada polis, yang mana siasatan membawa kepada penahanan.
Ketika dalam tahanan, defendan mengetuk pintu bilik sel dengan kuat, memanggil pegawai penyiasat untuk mengadu tentang sakit kepala dan perutnya.
Konstabel polis bertugas ketika itu memberitahu defendan supaya menunggu dengan sabar kerana dia telah memaklumkan kepada pegawai penyiasat.
Kemudian, defendan mengulangi membuat bising, mengakibatkan pertengkaran antara defendan dan konstabel polis tersebut. Pada ketika itulah defendan meludah ke arah konstabel polis berkenaan.


