Saturday, March 15, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Padah mengintai orang mandi

    Oleh Rafidah Jumat

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Okt – Gara-gara mengintai seorang wanita yang sedang mandi, seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi denda $1,000 atau hukuman sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret, semalam.

    Pemangku Ketua Majistret, Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Badaruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Jamal Riyadi, 24, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan mengintai wanita tempatan berusia 26 tahun dengan niat untuk mendapatkan kepuasan seksual.

    Tertuduh yang tinggal bertentangan dengan tempat tinggal wanita itu, didakwa melakukan kesalahan itu di Flat Desa Delima pada 5 Mei 2017 kira-kira jam 6:45 pagi.

    Mengikut fakta kes, tertuduh ketika itu sedang menyiram bunga di beranda apabila terdengar bunyi seseorang sedang mandi.

    Tertuduh kemudian pergi ke tingkap bilik mandi, yang terletak berdekatan dengan tangga dan mengendap ke dalam tingkap. Disebabkan tingkap itu berkabut, tertuduh hanya terlihat bayang-bayang mangsa.

    Mangsa yang menyedari terdapat bayangan kepala seorang lelaki yang cuba mengintai ke dalam bilik mandi terus menjerit. Tertuduh terus melarikan diri dan mangsa kemudian menceritakan kejadian kepada kakaknya sebelum membuat laporan polis.

    Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Dayangku Didi Nuraza binti Pengiran Latiff.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda