Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Padah miliki rokok seludup, dua didenda

    Oleh Fadley Faisal –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 DIS – Seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun didenda $21,000 kerana memiliki rokok seludup, selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Tutong, hari ini.

    Sekiranya gagal membayar denda tersebut, Mohammad Sahrul bin Duah akan menjalani hukuman penjara selama 13 bulan.

    Kejadian itu berlaku pada 20 Julai 2023, apabila pegawai penguat kuasa kastam merampas 11 karton dan 101 paket rokok pelbagai jenis di kediaman Mohammad Sahrul di kawasan RPN Kampung Bukit Beruang.

    Selain denda, mahkamah memerintahkan barangan rampasan dimusnahkan, manakala, wang tunai berjumlah $321 juga akan dilucutkan kepada kerajaan.

    Sementara itu, seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun juga dikenakan denda berjumlah $10,000 selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan memiliki rokok seludup.

    Muhammad Aiman Rafiuddin bin Abdullah Waliam akan menjalani hukuman penjara selama 10 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

    Pendakwa kastam mendedahkan kesalahan pertama telah dilakukan pada 8 Mei, melibatkan pemilikan 26 paket dan 28 batang rokok pelbagai jenis.

    Kesalahan kedua pula berlaku pada 19 September, melibatkan pemilikan dua karton dan satu paket rokok pelbagai jenis.

    Kedua-dua kejadian berlaku di kediamannya di kawasan RPN Kampung Bukit Beruang.

    Kes itu dibicarakan di hadapan Majistret Nur Eleana binti Dato Seri Paduka Haji Hairol Arni di Mahkamah Majistret Tutong.

    Selain denda, mahkamah memerintahkan semua rokok yang dirampas disita dan diserahkan kepada kerajaan untuk dimusnahkan.

    Gambar Pexel
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda