Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Dua lelaki yang memiliki sejumlah karton rokok tanpa cukai dikenakan denda oleh Mahkamah Majistret.
Awang Mohd Kasmawi bin Haji Awang Damit yang mengaku bersalah memiliki enam karton dan 20 paket rokok dijatuhi denda $3,200 oleh Majistret Kanan Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Badaruddin.
Dia didakwa memiliki barang tegahan itu ketika pemeriksaan dijalankan di Pos Kawalan Kuala Lurah pada 19 Februari 2017.
Majistret Kanan Haji Nabil Daraina memerintahkan defendan untuk membayar $500 hari ini dan bakinya diberi tempoh sehingga 28 Jun 2018.
Gagal membayar denda akan menyebabkan defendan dipenjarakan selama tiga bulan.
Dalam bilik mahkamah sama, Suhaimi bin Sulong, 39, dijatuhi denda $2,000 atau hukuman dua bulan penjara atas tuduhan memiliki lima karton dan enam paket rokok. Dia didapati memiliki rokok tanpa permit itu di dalam keretanya ketika pemeriksaan di Pos Kawalan Kuala Lurah pada 3 April 2015.