Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Seorang lelaki penduduk tetap berusia 66 tahun diarah membayar denda $5,000 kerana memiliki rokok tidak diisytiharkan.
Leong Fuk perlu menjalani hukuman penjara lima bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Majistret Syaffina binti Shahif mendengar daripada pegawai pendakwa kastam bahawa defendan didapati menyimpan dua karton, dua paket dan 15 batang rokok, kesemuanya tidak diisytiharkan, di sebuah premis perniagaan di Gadong pada 3:19 petang, 5 Januari
lalu.
Wang tunai $160 dan SGD15 turut ditemui di premis itu, yang kemudian disahkan hasil jualan haram rokok tidak diisytiharkan.
Mahkamah juga mengarahkan rokok itu dimusnahkan dan wang tunai dilucuthakkan.


