Saturday, May 10, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Padah miliki senjata, penjara 5 tahun dan sebatan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 DIS – Seorang lelaki warga Malaysia dan seorang penduduk tetap telah dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan tiga kali sebatan oleh Mahkamah Perantaraan, di sini, hari ini, setelah mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki senapang buatan sendiri.

    Joenny Tati, 37, yang merupakan warganegara Malaysia dan Ricky anak Kalong, 34, serta-merta mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

    Walau bagaimanapun, sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman, Ricky telah melantik peguam Lenny Rahman dan Mansur Latif di mana mereka memohon bagi penarikan balik pengakuan anak guam mereka. Peguam bela menyatakan, antara lain, bahawa anak guam mereka tidak memahami pertuduhan itu kerana ia dibacakan kepadanya dalam Bahasa Melayu oleh jurubahasa mahkamah sementara bahasa ibunda kedua-dua lelaki berkenaan adalah Bahasa Iban.

    Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Ahmad menjelaskan bahawa kedua-dua tertuduh tidak menimbulkan sebarang isu berkaitan pengakuan mereka meskipun mereka mempunyai peluang berbuat demikian antara sebutan kes berkenaan.

    Hakim Mohammed Faisal bin PDJLDR DSP Haji Kefli memutuskan bahawa kedua-dua tertuduh memahami akan pertuduhan tersebut dan akibat pengakuan mereka.

    Pihak pendakwaan mendedahkan bahawa kedua-dua mereka keluar untuk berburu di hutan paya gambut, Mukim Liang sebelum tengah malam pada 14 April lalu apabila kamera hutan yang dipasang di sekitar kawasan tersebut merakam mereka.

    Pada hari yang lain, seorang profesor universiti mengambil pita daripada kamera berkenaan yang menunjukkan tertuduh berkeliaran dengan membawa senapang dan pita berkenaan kemudiannya diserahkan kepada polis.

    Penyiasatan polis akhirnya membawa kepada penangkapan kedua-dua tertuduh.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda