KOTA KINABALU, 1 OGOS – Seorang kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memalsukan kad pengenalan, pada Mei 2013.
Safiah Alijang, 53, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manaf.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa memalsukan kad pengenalan atas nama Muhamad Daniel Hafiez bin Arif@Jali yang mana dokumen tersebut dikeluarkan bukan kepada pemilik sebenar.
Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 3.05 petang di JPN cawangan Pitas 22 Mei 2013, mengikut Seksyen 463 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Bernama