Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Seorang kerani akaun Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) dijatuhi hukuman penjara selama 12 bulan oleh Mahkamah Perantaraan hari ini setelahnya mengaku bersalah menyalahgunakan lebih $20,000.
Nurul Haniah binti Haji Hamzah, 33, juga diperintahkan untuk membayar ganti rugi sebanyak $15,333.50, tetapi setelah mengesahkan bahawa dia tidak akan dapat menjelaskan jumlah itu, dia akan menjalani hukuman penjara tambahan tiga bulan.
Tertuduh bekerja sebagai kerani akaun di Yayasan dan bertugas di sekolah, dedah Timbalan Pendakwa Raya, Didi-Nuraza Latiff di mahkamah.
Hakim Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar selanjutnya mendengar bahawa tertuduh menerima pembayaran yuran Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah berjumlah $11,577.50 pada 7 Mei 2016 yang diambilnya.
Begitu juga pada 5 Julai 2016, apabila dia menerima pembayaran berjumlah $9,156 dan menyimpannya untuk dirinya sendiri. Pada bulan Ogos 2016, pengurusan Yayasan memutuskan untuk menghantar seorang penolong pegawai kewangan di sekolah tersebut.
Pada 23 Ogos 2016 jam 10 pagi, di tengah-tengah penempatan semula penolong pegawai kewangan ke sekolah tersebut, tertuduh mengaku kepada penolong pegawai kewangan tersebut yang dia telah mengambil pembayaran untuk dirinya sendiri ketika diminta untuk memberikan catatan laporan harian yang lalu.
Tertuduh kemudian menyerahkan laporan berkenaan bersama dengan resit pembayaran.
Pada hari yang sama bapa tertuduh memohon agar pihak pengurusan memberi peluang kepada tertuduh untuk membuat pembayaran sepenuhnya secara ansuran sebanyak $500.
Tertuduh diberi kesempatan, yang mana dia membayar buat kali pertama pada 16 November 2016 dan yang terakhir pada 4 Oktober 2018 yang mana kese-muanya berjumlah $5,400.
Tertuduh juga mengakui bahawa dia telah menghabiskan wang tunai berkenaan untuk perbelanjaan hariannya, perjalanan percutian ke Singapura dan untuk membeli sebuah peti sejuk berharga $1,000.