Tuesday, May 6, 2025
30.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Padah salah guna kedudukan

    Oleh Rafidah Jumat

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Nov – Dua anggota polis berpangkat konstabel, masing-masing dijatuhi hukuman 18 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini, atas kesalahan menerima rasuah.

    Mohd Kamal Ariffien bin Aiadin dan Affandi Heng bin Bennay Heng didapati bersalah selepas perbicaraan oleh Majistret Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli, yang berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah.

    Majistret dalam mengambil kira hukuman telah menggariskan pentingnya menghantar mesej pencegahan, yang mana dalam kes ini, tertuduh telah menyalahgunakan kepercayaan dan kedudukan mereka dalam Pasukan Polis Diraja Brunei.

    Kedua-dua tertuduh sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima suapan berupa wang $500 daripada seorang lelaki yang dilaporkan melakukan kesalahan khalwat di kawasan komersial Batu Bersurat, pada 8 September 2011 pada jam 6:10 petang.

    Mereka juga didakwa cuba mendapatkan wang $4,000 daripada lelaki yang sama pada 6 September 2011 kira-kira jam 11:20 malam di kawasan komersial Kiulap sebagai dorongan untuk tidak membuat laporan polis mengenai kesalahan khalwat yang dilakukan lelaki itu.

    Timbalan Pendakwa Raya, Pengiran Norsuzanawati binti Pengiran Haji Abas yang menjalankan dakwaan telah memanggil 10 orang saksi untuk memberikan keterangan terhadap tertuduh.

    Tertuduh diwakili Peguam Haji Mohd Rozaiman bin DSLJ Haji Abdul Rahman.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda