Oleh Nour Maghfirah –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 DIS – Seorang warga tempatan diarah membayar denda dan seorang lagi dijatuhi hukuman penjara selepas mengaku bersalah menyimpan harta curi kelmarin.
Majistret Kanan Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman memerintahkan Ahmad Faizun Haziq bin Haji Sadikin, 22, membayar denda $2,000, atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Sementara itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat bulan ke atas Fadly Farzuan bin Awang Muda, 38, yang mempunyai sabitan berkaitan kecurian sebelum ini.
Pendakwa Raya Abdul Musawwir bin Haji Awang Mahli mendedahkan bahawa Ahmad Faizun telah bertemu seorang rakannya, yang memberikannya telefon bimbit yang dicuri.
Walaupun mengetahui ia barang dicuri, defendan masih menyimpan telefon itu.
Pada 20 November, defendan memberikan telefon itu kepada rakan yang hilang telefonnya.
Fadly Farzuan menerima telefon bimbit yang dicuri daripada rakannya sebagai pertukaran kepada dadah. Seterusnya dia menyuruh teman wanitanya menyimpan telefon bimbit tersebut.
Pemilik telefon bimbit menyedari telefonnya hilang, membuat laporan polis dan membawa kepada penahanan defendan pada 27 November, serta penemuan semula telefon itu dari rumah teman wanitanya.


