Padah tidak pakai pelitup muka dengan betul

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT – Gara-gara tidak memakai pelitup muka dengan betul di kawasan kedai, seorang lelaki warga tempatan berumur 60 tahun telah dikenakan kompaun di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 20, baru-baru ini.

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) menjelaskan, rakaman video tular di media sosial menunjukkan lelaki berkenaan sedang berada di dalam sebuah premis peniagaan di Pandan 4, Jalan Raya Negara, Kuala Belait, sekitar 10 pagi 14 Oktober lalu dengan tidak memakai pelitup muka dengan kemas dan cara yang betul.

Berikutan insiden tersebut, salah seorang daripada pekerja kedai telah menegur lelaki tersebut namun diabaikan dan tidak diendahkan.

Pekerja berkenaan segera melaporkan ke talian hotline COVID-19 untuk diambil tindakan sewajarnya.

Keanggotaan Balai Polis Kuala Belait telah mengambil tindakan dengan membuat siasatan dan telah berhasil menemukan serta membawa lelaki tersebut ke Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait bagi menjalani ujian saringan (swab test) COVID-19 sebelum siasatan dan keterangan lanjut diambil di Balai Polis Kuala Belait.

Suspek telah dilepaskan dengan ikat jamin polis bagi menantikan pengumpulan maklumat dan bukti untuk dihadapkan ke muka pengadilan atas keterlibatan suspek dengan kes penyiasatan
yang lain.

Bagi sebarang insiden yang didapati melanggar sebarang peraturan atau SOP di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204, orang awam bolehlah menghubungi Talian Hotline, di Pusat Koordinasi Kebangsaan Menangani COVID-19 (N3C19) yang beroperasi 24 jam setiap hari.

Talian-talian hotline yang dapat dihubungi adalah 8176148, 8175148, 8166148 atau 8155148.