Oleh Salawati Haji Yahya
TUTONG, 26 Feb – Sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti perindustrian di Kampung Serambangun, Tutong dikenakan kompaun oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), semalam.
Syarikat Daikyo Industrial Sdn Bhd dikenakan kompaun $500 kerana didapati melakukan kesalahan Bab 12(1)(a) di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, Penggal 30 iaitu menumpahkan sisa cecair beracun atau bahan lain yang berbau busuk atau kotor hingga menyebabkannya mengalir atau jatuh di tempat awam.
Syarikat berkenaan diberikan tempoh dalam masa tujuh hari dari tarikh kompaun dikeluarkan untuk menjelaskan denda berkenaan, jika gagal syarikat yang berkenaan boleh didakwa ke mahkamah dan jika sabit kesalahan, boleh didenda $1,000 bagi kesalahan pertama, manakala itu, bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh didenda $3,000 dan penjara tidak melebihi tiga bulan.
JASTRe mengingatkan orang awam atau mana-mana syarikat untuk sentiasa menjaga kebersihan dan mengamalkan sifat bertanggungjawab terhadap kebersihan alam sekitar.
