Tindakan penyanyi Indonesia, Judika atau Judika Nalon Abadi Sihotang, 45, memadam semua foto di Instagram miliknya baru-baru ini, membuatkan beliau sendiri terkejut kerana melihat reaksi orang ramai termasuk rakan artis yang menyangka dia mahu mengundurkan diri daripada industri hiburan.
Memetik dari mStar, Judika berkata, “Sebenarnya saya sendiri takut dengan gimik ini sebab kapsyen yang ditulis membuatkan orang ramai menganggap saya mahu menghilangkan diri.”
“Niat saya sebenarnya hanya ingin memberitahu tentang konsert ini dengan cara istimewa kepada peminat,” tambahnya lagi kepada mStar.
Judika berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Rockmantic Night Judika and The Gang yang diadakan di Pavilion Kuala Lumpur, semalam.
Penyanyi lagu Bukan Rayuan Gombal bagaimanapun memberitahu dia tidak mempunyai niat untuk berhenti menyanyi dan meluahkan rasa terharu apabila ramai yang bertanyakan tentang keadaan dirinya.
Malah disebabkan kontroversi itu juga, penyanyi berkenaan menyedari dia masih disayangi ramai.
“Saya tidak ada niat untuk menghilang… daripada satu sisi yang lain, ketika saya membaca komen peminat, terbukti rupa-rupanya ramai yang sayang kepada saya.
“Komen-komen peminat itu juga membuatkan saya rasa terharu kerana ramai yang suka dengan karya-karya muzik saya.
“Ada peminat yang menangis, DM saya setiap hari untuk bertanyakan keadaan saya… Sekali lagi terima kasih kepada semua yang mengambil berat tentang diri saya,” ujarnya.
Dalam pada itu, penyanyi berkenaan menjelaskan gimik tersebut bukanlah atas kehendaknya namun hanya menerima idea daripada syarikat pengurusannya.
“Sebenarnya saya juga tidak pernah melakukan gimik seperti ini, semuanya idea daripada pasukan saya yang memikirkan tentang bagaimana caranya untuk memberi kejutan tentang konsert pertama saya di Malaysia.
“Saya hanya bersetuju kerana tidak biasa melakukan perkara (gimik) ini,” jelasnya.
Sementara itu, Judika turut berkongsi rasa teruja apabila bakal menghiburkan peminat menerusi Konsert Rockmantic Night Judika and The Gang yang akan diadakan pada 21 Oktober depan.
Jelas Judika, dia mahu menghadiakan sebuah konsert yang bakal memberikan pengalaman dan momen terindah untuk diingati peminat.
“Konsep konsert kali ini adalah sesuatu yang berbeza, di mana walaupun saya berjiwa rock tetapi masih lagi romantis… disebabkan itu ia diberi nama Rockmantic Night Judika and The Gang.
“Saya mahu semua penonton yang hadir bukan hanya terhibur tetapi pulang dengan membawa penuh kenangan bersama kami,” jelasnya.
Konsert yang akan berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil ini turut menampilkan barisan artis jemputan terkenal termasuk Shila Amzah, Marsha Milan dan Haqiem Rusli.
Pada 4 Julai lalu, Judika menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat apabila penyanyi itu memadam semua foto di akaun Instagram miliknya.
Hantaran yang dibuat turut disertakan dengan kapsyen ucapan terima kasih kepada semua peminat yang telah menyokongnya selama ini.
“Terima kasih telah menyokong saya selama ini,” tulisnya. – Agensi
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/07/IMG_2726.jpeg)