MOSCOW, 5 OGOS – Pasukan penerbangan Kementerian Pertahanan Rusia berjaya memadamkan kebakaran hutan di kawasan seluas 753,000 hektar di wilayah Krasnoyark dan Irkutsk di Siberia dalam tempoh empat hari lepas, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan kementerian itu, kelmarin.
Kumpulan penerbangan itu telah menyemburkan kira-kira 6,000 tan air di kawasan yang terbakar sejak permulaan operasi dan api yang merebak di kawasan seluas kira-kira 303,000 hektar berjaya dipadamkan kelmarin, menurut kenyataan tersebut.
Pesawat pengangkut tentera jenis Il-76 dan helikopter Mi-8 milik Kementerian Pertahanan Rusia telah terlibat dalam operasi itu. – Bernama