Saturday, January 11, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Padam kebakaran hutan guna kereta kebal diubah suai

    ATHENS, 29 OGOS – Ratusan anggota bomba hari ini masih berusaha memadamkan kebakaran hutan yang melanda sempadan Greece-Turkiye selama 11 hari, lapor agensi berita Jerman (dpa).

    Kira-kira 475 anggota bomba sedang bertugas menggunakan enam pesawat pemadam kebakaran dan empat helikopter.

    Mereka kini menggunakan kereta kebal perang Leopard yang telah diubah suai, dibawa khas ke wilayah itu dari tengah Greece, lapor penyiar Skai. Kereta kebal dengan kapasiti 15,000 liter air, juga dilengkapi dengan penyodok untuk kawasan kasar dan ruang menyelamat untuk 10 orang.

    Tiupan angin sederhana mengakibatkan kebakaran terus berlaku di wilayah itu di beberapa kawasan.

    Proses pampasan juga telah bermula untuk penduduk tempatan, menurut saluran berita ERTNews.

    Kebakaran hutan juga masih marak di pergunungan Parnitha di barat laut Athens dan di pulau Andros dan Euboea.

    Perdana Menteri, Kyriakos Mitsotakis dijangka mengetuai mesyuarat krisis mengenai pemadaman kebakaran dan penanaman semula hutan di wilayah itu, kelmarin.

    Parlimen Greece juga merancang untuk membincangkan kebakaran teruk Khamis depan.

    Amaran peringkat tinggi untuk bahaya kebakaran hutan masih dikuatkuasakan di banyak bahagian di Greece, yang dikeluarkan oleh Pertahanan Awam. Amaran itu meliputi sebahagian besar semenanjung Peloponnese, wilayah Attica di sekitar Athens, pulau Cyclades dan Crete. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda