Wednesday, April 2, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Padanan kasut dan pakaian tradisional, cerminan identiti budaya

    KUALA LUMPUR – Pemakaian kasut yang sesuai dengan pakaian tradisional bukan sekadar soal gaya, tetapi juga mencerminkan penghormatan terhadap budaya dan warisan bangsa.

    Dalam konteks pemakaian baju Melayu atau baju kurung, pemilihan alas kaki yang tepat mampu melengkapkan penampilan serta menyerlahkan identiti budaya seseorang.

    Menurut pereka fesyen Hatta Dolmat, lelaki yang mengenakan baju Melayu sebaiknya memilih capal atau kasut formal seperti Oxford shoes bagi memastikan keserasian dengan elemen tradisional pakaian mereka.

    Hatta berpandangan capal yang secara turun-temurun digandingkan dengan busana tradisional, masih relevan dalam gaya moden dan terus menjadi pilihan bagi mereka yang ingin mengekalkan ‘keaslian’ berbusana Melayu.

    “Capal bukan sekadar kasut biasa tapi melambangkan warisan dan identiti budaya kita.

    Capal bukan sekadar kasut biasa tapi melambangkan warisan dan identiti budaya Melayu. – Bernama
    Pereka fesyen Hatta Dolmatt. – Bernama

    Apabila seseorang memilih untuk memakai capal dengan baju Melayu, ia menunjukkan penghormatan terhadap tradisi,” katanya kepada Bernama.

    Bagaimanapun, katanya seiring perubahan zaman, beberapa jenis capal moden yang lebih kemas dan berkualiti juga boleh dijadikan alternatif, asalkan tidak kelihatan terlalu santai atau tidak sesuai untuk acara perayaan.

    Hatta berpendapat bagi wanita, pilihan kasut lebih pelbagai antaranya kasut bertumit rendah atau sandal yang lebih formal sering menjadi pilihan bagi mereka yang mengenakan baju kurung.

    Namun, pemakaian selipar, terutamanya selipar Jepun, dianggap kurang sesuai kerana boleh mencacatkan keanggunan penampilan.

    “Pemilihan kasut yang tidak sesuai boleh memberi kesan kurang manis kepada keseluruhan penampilan seseorang. Oleh itu, bagi memastikan gaya yang sopan dan kemas, sebaiknya elakkan selipar yang terlalu kasual,” tambah pereka fesyen itu.

    Penjawat awam Muttaqien Ahmad, 33, berpandangan pemilihan kasut harus selari dengan kesopanan berpakaian pada hari raya, terutama ketika menghadiri majlis rasmi atau berkunjung ke rumah sanak saudara.

    “Walaupun kasut sniker semakin diterima, saya tetap percaya kasut formal atau loafers lebih sesuai untuk pakaian tradisional agar lebih nampak sempurna dan kemas,” katanya.

    Personaliti televisyen, Dayah Bakar berpendapat bahawa walaupun pemakaian selipar mungkin tidak sesuai untuk acara formal, alas kaki itu tetap menjadi pilihan bagi sesetengah individu yang mahukan gaya lebih praktikal di tempat dan situasi tertentu.

    “Saya sendiri lebih gemar memakai kasut tertutup jika menghadiri rumah terbuka rasmi.

    Tetapi jika untuk suasana santai seperti berkumpul bersama keluarga di kampung, saya rasa selipar yang cantik dan berkualiti boleh menjadi alternatif yang baik,” katanya ketika ditemui pada pelancaran koleksi baharu jenama selipar Fipper x Bayu Somerset. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda