Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Padang bola sepak unik di kawah gunung berapi Mexico

    MEXICO – Kawah gunung berapi bukanlah tempat yang biasa untuk mengadakan perlawanan bola sepak, tetapi di situlah pengadil meniup wisel untuk perlawanan setiap hujung minggu di pinggir bandar Mexico.

    “Ia merupakan padang yang unik,” kata pemain berusia 32 tahun Adrian Garcia, yang bekerja sebagai seorang pereka grafik.

    “Ia sangat menyenangkan datang ke sini untuk mencari ketenangan, berehat bersama rakan-rakan dan keluarga,” tambahnya.

    Gunung berapi Teoca yang tidak aktif sekitar 2,700 meter (kira-kira 8,900 kaki) di atas paras laut di daerah Xochimilco, sebuah kawasan hijau di tenggara bandaraya yang luas.

    Kira-kira 10 buah pasukan bersaing dalam liga amatur yang diadakan di kawah gunung berapi pada hujung minggu.

    Pemandangan udara padang bola di kawah gunung berapi Teoca di bandar Santa Cecilia Tepetlapa, di pinggir Bandar Mexico. – Gambar AFP
    Kawah gunung berapi Teoca yang tidak aktif di Mexico City merupakan rumah kepada pasukan bola sepak yang berlatih di sini setiap hujung minggu. – Gambar AFP

    Kawasan itu pernah menjadi pusat upacara, tetapi selepas tidak digunakan, ia berubah menjadi tempat untuk bermain bola sepak.

    “Padang itu mungkin sudah berusia kira-kira 70 tahun,” kata wakil liga, Joel Becerril.

    “Mereka pernah membawa saya ke sini ketika saya masih kecil,” tambahnya.

    Pada waktu subuh, kabus tebal menutupi padang bola sepak, tetapi ia beransur-ansur hilang apabila matahari terbit.

    Hanya satu jalan untuk menuju ke puncaknya, serta sebuah laluan mendaki sepanjang 18 kilometer (11 batu) di lereng-lereng hutan gunung berapi tersebut.

    “Ia sungguh luar biasa,” kata penjaga gol berusia 47 tahun, Daniel Mancilla Pena.

    “Ia sangat mengagumkan untuk datang ke sini dan memiliki suasana yang sangat indah untuk bermain bola sepak,” tambahnya.

    Menurut pakar dari Universiti Autonomi Kebangsaan Mexico, terdapat lebih daripada 200 gunung berapi di selatan bandar Mexico dan di sempadan dengan negeri jiran Morelos, namun sebahagian besar daripadanya tidak aktif.

    Mexico terletak di zon seismik dan gunung berapi paling aktif di dunia, yang dikenali sebagai Lingkaran Api Pasifik, di mana plat Pasifik bertemu dengan plat tektonik di sekelilingnya.

    Salah satu gunung berapi aktif di negara itu, Popocatepetl, yang terletak hanya 70 kilometer dari ibu negara, dan pada Mei lalu memuntahkan abu, gas dan batu lebur. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda