Oleh Nur Adila Abdul Wahab
GEORGE TOWN – Tepat 6 petang 30 Ogos 1957, bendera Union Jack diturunkan di Padang Kota Lama bagi menandakan berakhirnya penjajahan kolonial di Pulau Pinang.
Padang Kota Lama yang juga dikenali sebagai The Esplanade banyak menyimpan sejarahnya yang tersendiri terutamanya upacara menurunkan bendera British itu sehari sebelum pengisytiharan kemerdekaan negara.
Di padang itu juga terletaknya kubu pertahanan British, yang dikenali sebagai Fort Cornwallis yang dibina oleh British East India Company pada 1786 dan di situlah Francis Light menaikkan kibaran Union Jack.
Selain itu, ia turut menempatkan bangunan-bangunan bersejarah di negeri ini termasuk Majlis Bandaraya Pulau Pinang.
Selepas 61 tahun, Padang Kota Lama akan mengukir sejarah lagi apabila dipilih sebagai lokasi pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 bertema ‘Sayangi Malaysiaku’.

Ia juga mencatat sejarah kerana buat pertama kalinya sambutan itu dianjurkan kerajaan Pakatan Harapan yang mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan Persekutuan setelah memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei lepas.
Pemilihan lokasi itu sebagai venue pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 dilihat bakal mengembalikan nostalgia penuh bersejarah di kawasan itu.
Pelancaran sambutan itu yang diterajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama kerajaan negeri Pulau Pinang akan dirasmikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 4 Ogos yang lalu.
Nostalgia
Sejarawan sosial Liang Chow Ming berkata lokasinya yang strategik dan terletak di tepi laut selain dikelilingi dengan bangunan-bangunan warisan bersejarah, Padang Kota Lama adalah pilihan tepat untuk penganjuran sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang tahun ini.
Beliau berkata pemilihan Padang Kota Lama pastinya akan mengembalikan nostalgia kepada rakyat kerana ia menandakan bermulanya penjajahan British di Tanah Melayu.
“Padang Kota Lama menjadi simbolik kepada kedatangan orang British di Tanah Melayu. British masuk ke Tanah Melayu melalui Pulau Pinang dan sebab itulah wujudnya Esplanade (Padang Kota Lama). Di sinilah bermulanya penjajahan kolonial di tanah Melayu.
“Ia adalah tempat yang terbaik bagi meraikan sesuatu yang penting seperti ini. Tiada tempat lain yang lebih simbolik berbanding Esplanade. Ia adalah satu permulaan yang baharu…harapan baharu setelah 61 tahun kita merdeka,” katanya kepada Bernama.
Sejajar dengan semangat Malaysia Baharu, Liang berkata pemilihan Pulau Pinang untuk sambutan itu sememangnya menjadi kebanggaan rakyat negeri Pulau Mutiara ini.
Aktivis warisan Khoo Salma Nasution pula berkata Pulau Pinang adalah jajahan British yang pertama di Semenanjung Tanah Melayu apabila pihak penjajah mendirikan kota di Padang Kota, Tanjung yang kini dikenali sebagai George Town.
Ini, katanya, sangat bersesuaian dan simbolik kepada sambutan Bulan Kebangsaan di Padang Kota Lama.
“Pada 31 Ogos 1957, hari merdeka dirayakan di Padang Kota juga.
Sekarang Padang Kota adalah tapak arkeologi dan tempat untuk belajar tentang lapisan demi lapisan sejarah dan pusaka kita, iaitu warisan pelbagai kaum,” katanya.
Khoo Salma yang juga Naib Presiden Persatuan Warisan Pulau Pinang turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi.
“Tema Hari Kebangsaan tahun ini ‘Sayangi Malaysiaku’…maksudnya, maruah Malaysia janganlah dijual ke mana-mana negara asing. Kita perlu ingat bahawa apabila kita jual tanah kepada orang, kita sudah tidak miliki lagi tanah itu,” katanya.


Penuh sejarah
Semasa berkongsi kisah Padang Kota Lama itu, Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) Tan Sri Mohd Yusoff Latiff berkata banyak sejarah lokasi itu yang tidak diketahui oleh generasi masa kini kerana mereka hanya mengenali tempat itu sebagai kawasan tarikan pelancong, tempat beriadah dan menjamu selera.
“Padang Kota Lama merupakan padang yang dahulunya menjadi lokasi berbagai-bagai acara sambutan dan kempen. Ia merupakan padang yang penuh bersejarah.
“Pada 30 Ogos 1957, pada 6 petang, satu upacara menurunkan bendera British iaitu Union Jack diadakan di situ. Ia merupakan satu istiadat yang penuh bersejarah selepas berakhirnya penjajahan di bumi Pulau Pinang.
“Pada 1 September 1957, satu upacara yang penuh bersejarah juga diadakan di Padang Kota Lama di mana Ketua Menteri Pulau Pinang yang pertama Wong Pow Nee membacakan pengisytiharan kemerdekaan.
“Ia merupakan satu perhimpunan yang cukup gembira, cukup seronok. Saya berkesempatan hadir ketika itu. Satu sambutan yang penuh bermakna kerana kita telah mencapai kemerdekaan,” katanya kepada Bernama.
Mohd Yusoff yang juga Presiden Pertubuhan Amanah Warisan Melayu Pulau Pinang (Pewaris) berkata ketika pengisytiharan kemerdekaan itu, Wong turut menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu di Padang Kota Lama.
Beliau berkata selain upacara pengisytiharan kemerdekaan itu, Padang Kota Lama juga menjadi lokasi pilihan Tunku Abdul Rahman Putra untuk membuat pengumuman mengenai pengampunan beramai-ramai anggota Komunis pada 5 Disember 1955.
“Tunku menaiki helikopter dari Butterworth dan mendarat di Padang Kota Lama sebelum membuat pengumuman itu. Ini juga satu peristiwa yang penuh bersejarah.
“Pengumuman itu dibuat dalam satu perhimpunan yang sungguh sesak. Kedatangan Tunku Abdul Rahman disambut dengan penuh sesak di Padang Kota Lama untuk turut serta mendengar pengumuman Tunku memberi pengampunan beramai-ramai kepada Komunis,” katanya.
Beliau berkata Padang Kota Lama turut menjadi lokasi pertama penganjuran Pesta Pulau Pinang pada 1970 sebelum bertukar lokasi ke Sungai Nibong.
Ketika itu, Pesta Pulau Pinang dikenali sebagai ‘Trade Fair’ untuk mempamerkan produk-produk Pulau Pinang kepada pengunjung dan Padang Kota Lama ditutup selama 10 hari bagi memberi laluan kepada penganjuran program itu.
Padang Kota Lama juga menjadi tempat bagi orang British bermain kriket semasa era pemerintahan British di negeri Selat itu, katanya sambil memberitahu Padang Kota Lama turut menjadi lokasi pilihan bagi penganjuran acara kebudayaan, keseniaan dan perhimpunan serta sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri.
Sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018, pelbagai acara diatur bagi memeriahkan program itu sepanjang 3 hingga 5 Ogos yang lalu termasuk pameran ‘Caring Bridge’ yang akan disertai 80 agensi kerajaan dan swasta serta syarikat telekomunikasi.
Pertandingan Bintang Patriotik, program Zikir Sayangi Malaysiaku serta majlis keagamaan juga akan diadakan di beberapa masjid, gereja dan kuil di sekitar George Town. – Bernama