LONDON, 20 Feb – Arsene Wenger mengutarakan rasa bimbangnya mengenai keadaan padang sintetik Sutton United menjelang kunjungan pasukannya bagi persaingan pusingan kelima Piala FA.
Pengurus Arsenal itu percaya permukaan tiruan itu mampu menjadi penghalang kepada para pemainnya meskipun berusaha membuat persediaan di atas permukaan yang sama.
Arsenal terdesak untuk mengelakkan daripada tersingkir kepada pasukan liga bawahan selepas kekalahan besar mereka dalam Liga Juara-Juara kepada Bayern Munich. “Apa yang menjadi bahaya? Pertama adalah padang, kedua adalah semangat mereka dan ketiga adalah kami belum bersedia bagi pertarungan besar serta berfikiran mereka adalah pasukan bukan liga dan ia tidak menjadi masalah,” kata Wenger.
“Itu tidak akan terjadi, sebaiknya kami mahu bermain di atas padang biasa, tetapi ia telah diterima dan persaingannya adalah anda perlu menghadapinya.
“Kami akan berdepan dengan padang yang luar daripada kebiasaan dan kami perlu menanganinya. Kami telah berlatih di dalam (padang latihan Arsenal) kerana ia padang tiruan.
“Tetapi ia tidak sama kerana ia kering dan Sutton pula mempunyai padang tiruan yang basah, yang mana mereka basahi sebelum perlawanan. “Bola datang kepada anda dengan pantas dan ia tidak menjadi perlahan seperti dalam perlawanan biasa, jadi kami perlu membiasakan dengan kepantasan bola itu.” – AFP