OECUSSE, TIMOR-LESTE, 21 DIS – Seorang paderi warga Amerika Syarikat (AS) didakwa melakukan gangguan seksual ke atas anak yatim dan wanita malang di bawah penjagaannya di Timor Leste, hari ini didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun, kes pertama seumpamanya di negara itu.
Richard Daschbach, 84, seorang mubaligh di kawasan pedalaman Oecusse, didakwa melakukan gangguan seksual dan pornografi kanak-kanak serta keganasan domestik.
Perbicaraan bermula pada Februari namun tertangguh beberapa kali sebelum selesai pada bulan lalu.
Semasa prosiding, mangsa mengadu mengenai ancaman dan serangan dalam talian. Daschbach kekal mendapat sokongan kuat daripada beberapa pihak, termasuk bekas presiden, Xanana Gusmao, yang turut hadir ke mahkamah hari ini.
Timor Leste adalah sebuah negara paling ramai penganut Katolik selepas Vatican dan Daschbach dijulang atas peranannya semasa memperjuangkan kemerdekaan negara itu.
Gereja dan penderma luar negara yang sebelum ini memberikan bantuan ke atas pusat perlindungan berkata Daschbach mengakui penganiayaan itu, namun dia dan peguamnya beberapa kali enggan memberikan sebarang kenyataan.
Daschbach tiba di negara itu dengan mendirikan pusat perlindungan pada 1990an.
Ratusan kanak-kanak datang ke pusat perlindungannya dengan lebih puluhan wanita tampil ke hadapan membuat tuntutan penganiayaan, namun hanya sembilan didaftarkan dalam kes disebabkan teknikal undang-undang. The Associated Press bercakap kepada lima yang membuat dakwaan tersebut.
Wakil Daschbach berkata mereka merancang untuk membuat rayuan terhadap tiga keputusan yang dikeluarkan oleh tiga hakim. – AP