MANILA, 9 SEPT – Filipina tidak bercadang untuk mengekstradisi seorang paderi Filipina yang dikehendaki atas tuduhan pemerdagangan seks kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS), kata Presiden Ferdinand Marcos hari ini selepas suspek ditahan.
Apollo Quiboloy, yang mengaku sebagai ‘Anak Tuhan yang Dilantik’ dan sekutu bekas presiden Rodrigo Duterte, menyerah diri di bandar selatan Davao kelmarin di tengah-tengah pemburuan besar-besaran polis selama dua minggu di kawasan bangunan kumpulannya yang luas.
AS telah mendakwa paderi Kingdom of Jesus Christ itu pada tahun 2021 dengan pemerdagangan seks gadis dan wanita berumur 12 hingga 25 tahun untuk bekerja sebagai pembantu peribadi, yang didakwa dikehendaki melakukan hubungan seks dengannya.
“Buat masa ini, kami tidak akan mempertimbangkan soal ekstradisi. Kami ingin memberikan tumpuan kepada kes-kes yang difailkan di Filipina,” kata Marcos kepada pemberita di luar persidangan di Manila.
Tidak diketahui sama ada AS secara rasmi meminta ekstradisi Quiboloy, yang berusia sekurang-kurangnya 74 tahun menurut FBI.
Quiboloy, yang kumpulannya mendakwa mempunyai berjuta-juta pengikut, sedang menghadapi pertuduhan di Manila atas kesalahan penderaan kanak-kanak, penderaan seksual dan pemerdagangan manusia. – AFP