YANGON, 18 FEB – Seorang paderi Roman Katolik mati ditikam di gerejanya di Myanmar oleh anggota kumpulan bersenjata anti-junta, kata seorang pegawai dan ketua persidangan uskup negara itu.
Paderi Donald Martin Ye Naing Win diserang Jumaat lalu oleh 10 orang daripada pasukan pertahanan rakyat (PDF) di perbandaran Shwebo, wilayah Sagaing tengah.
Sagaing telah menyaksikan beberapa pertempuran paling sengit antara pasukan junta dan kumpulan bersenjata menentang pemerintahannya.
“Kami menerima berita bahawa Paderi Donald Martin Ye Naing Win, seorang paderi Keuskupan Agung Katolik Mandalay, telah dibunuh dengan kejam oleh sekumpulan lelaki bersenjata pada Jumaat,” kata Ketua Persidangan Uskup Katolik Myanmar, Kardinal Charles Bo, dalam satu kenyataan Ahad lalu.
“Kami amat terkejut dan sedih dengan berita itu.
“Kami menggesa mereka yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan sewajarnya dan memastikan keadilan ditegakkan, supaya kejadian seperti itu tidak berulang pada masa hadapan,” tambahnya.
Seorang pegawai PDF di kampung Kangyitaw, tempat pembunuhan itu berlaku, berkata kepada AFP bahawa 10 ahli kumpulan itu memasuki gereja itu sekitar jam 9 malam dan memaksa lelaki berusia 44 tahun itu melutut sebelum membunuhnya dengan pisau.
Seramai 10 pemberontak itu telah ditangkap, kata pegawai itu, tanpa mendedahkan nama untuk keselamatan mereka sendiri. – AFP
