Saturday, December 28, 2024
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Paderi mohon maaf selepas bongkarkan Santa Claus tidak wujud

    HAMPSHIRE, 27 DIS – Seorang pendeta Inggeris dituduh merosakkan suasana Krismas untuk kelas pelajar tahun enam dengan mengatakan bahawa Santa Claus tidak wujud dan ibu bapa mereka yang meletakkan hadiah di bawah pokok Krismas.

    Menurut laporan Oddity Central minggu lalu, Dr Paul Chamberlain sepatutnya bercerita tentang kelahiran Jesus di hadapan pelajar di Sekolah Rendah Lee-on-the-Solent, Hampshire, England, namun sebaliknya bercerita tentang topik yang pelajar berkenaan belum bersedia mendengarnya – kewujudan Santa Claus.

    Dia dengan santai memberitahu kelas berkenaan bahawa Santa Claus adalah tidak benar dan sebenarnya, ibu bapa merekalah yang membelikan hadiah serta memakan biskut yang mereka tinggalkan untuk Santa.

    “Awda semua sudah berada di tahun enam, maka marilah kita bercakap benar. Santa sebenarnya tidak wujud,” kata Chamberlain kepada kelas yang dihadiri pelajar kebanyakannya berumur 10 dan 11 tahun.

    Cerita yang disampaikan itu mengejutkan ramai kanak-kanak, yang kemudiannya mula menangis teresak-esak dan memberitahu ibu bapa mereka tentang pengalaman traumatik itu.

    “Selepas bercakap tentang sebuah kisah dari kitab Bible, dia membuat beberapa komen tentang kewujudan Bapa Krismas,” kata jurucakap pihak berkenaan kepada Mail Online.

    “Paul telah mengakui bahawa tindakannya adalah satu kesilapan dan dia tidak sepatutnya berbuat demikian. Dia memohon maaf tanpa syarat kepada pihak sekolah, kepada ibu bapa dan anak-anak. Guru besar sekolah juga dengan segera menulis kepada semua ibu bapa untuk menjelaskan perkara ini,” tambah jurucakap.

    Sesetengah ibu bapa menyifatkan tindakan paderi itu sebagai ‘salah’ atau ‘menjijikkan’, manakala yang lain berkata mereka perlu ‘berusaha kuat’ musim cuti ini untuk membantu anak-anak mereka pulih daripada trauma akibat ‘berita’ tersebut. – Agensi

    Santa Claus yang sebenarnya tidak wujud, menurut paderi berkenaan. – GAMBAR ODDITY CENTRAL
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda