NEW YORK – John Queiroz, seorang remaja dari New Jersey yang bermain saksofon dalam pancaragam sekolahnya, tidak dapat menyembunyikan rasa terujanya ketika masa rehat konsert oleh Orkestra Simfoni Konservatori Muzik (CCOM)Beijing di Dewan Carnegie di pusat bandar Mahattan.
“Adalah amat mengagumkan untuk melihat persembahan ini untuk kali pertama. Saya boleh rasa suasananya, kegembiraan dan keagungannya. Saya rasa muzik dalam diri saya,” katanya, menambah beliau kini mempunyai minat mendalam untuk mempelajari seruling buluh Cina.
Yu Feng, presiden CCOM dan konduktor konsert pada Jumaat, memberitahu Xinhua bahawa matlamatnya adalah membantu rakyat Amerika memahami muzik rakyat China dengan lebih baik, dan mungkin belajar memainkannya menerusi program selama satu dekad. “Tahun ini kami mempersembahkan hasil kerja lapan penggubah kontemporari China yang paling aktif dan produktif,” kata Yu.
“Paduan muzik rakyat China dengan orkestra Barat merupakan persembahan pemahaman etnik dan kemanusiaan yang inovatif.”
Konsert selama dua setengah jam itu memaparkan pemain alat tradisional China, termasuk pemain seruling buluh, Fan Linfeng dan Dai Ya, pemain sheng, Zheng Yang dan pemain pipa, Zhang Qiang.

Pada pandangan Hao Weiya, penggubah seruling buluh dan orkestra ‘The Dream of Peony Pavilion’, konsert itu merupakan ilustrasi ciptaan muzik dunia China dan melambangkan usaha China untuk mewujudkan dunia yang harmoni.
“Semua negara dan era membuat sumbangan mereka sendiri kepada dunia muzik berdasarkan pemahaman mereka sendiri. Muzik yang kami dengar hari ini adalah hasil kerja semua orang dari pelbagai lapisan umur,” kata Hao.
Guo Wenjing, penggubah seruling buluh dan orkestra ‘The Sorrowful, Desolate Mountain,’ berkata sintesis orkestra Barat dan muzik rakyat Cina bukan sahaja memperkaya orkestra Barat tetapi juga memberikan muzik rakyat Cina pendedahan yang lebih besar kepada penonton Barat.
Ekaterina Zarudnaya, penduduk Brooklyn yang berasal dari Sochi, Rusia, menggelar konsert ‘satu gubahan Asia dan China yang menakjubkan.’
“Bila-bila masa Barat dan Timur bergabung bersama, ia merupakan pengalaman yang hebat,” tambah beliau. Ramai penonton mendapati sheng amat luar biasa, salah satu alat muzik China paling tua yang wujud 3,000 tahun lalu.
Pemain sheng, Zheng Yang berkata, “Sekecil-kecil saiznya, kesan bunyi tertentu sheng benar-benar menyatukan orkestra Barat dan muzik rakyat China bersama.”
“Sheng adalah milik China, dan ia juga milik dunia,” kata Zheng.
Dipersembahkan oleh Mid America Productions (MAP), penerbit bebas konsert koir di Dewan Carnegie, konsert itu juga membuka musim konsert tahunan MAP ke-37.
Peter Tiboris, ketua pengarah dan pengarah muzik MAP, telah mengadakan Orkestra Simfoni CCOM ketika melawat China pada awal tahun ini.
Beliau berkata, “Penggubah mewakili bukan sahaja yang terbaik daripada terbaik di China, ia adalah beberapa muzik paling menarik yang ditulis hari ini.”
Setiap hasil usaha dalam program menawarkan perspektif unik tentang bagaimana orkestra simfoni moden boleh meluahkan perasaan China, kata Tiboris.
Timothy Dillon, jurutera tempatan, memberitahu Xinhua pada akhir konsert bahawa beliau berasa amat kagum. “Saya rasa warga Amerika harus meluang lebih banyak masa untuk memahami budaya berlainan.” – Xinhua