Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Paetongtarn letak jawatan ketua Parti Pheu Thai

    BANGKOK, 22 OKT – Bekas Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra meletak jawatan sebagai ketua Parti Pheu Thai, hari ini, bagi memberi laluan kepada reformasi parti menjelang pilihan raya umum tahun depan.

    Paetongtarn, 39, berkata keputusannya untuk berundur adalah selaras dengan pengumumannya pada 7 Oktober lalu untuk membawa visi baharu dan perubahan sebenar kepada rakyat.

    “Hari ini, saya memutuskan untuk meletak jawatan sebagai ketua Parti Pheu Thai dengan niat memulakan reformasi parti secara menyeluruh,” katanya pada satu mesyuarat di ibu pejabat parti berkenaan hari ini.

    Beliau juga berkata bahawa sebagai satu daripada parti politik utama negaranya, Pheu Thai perlu melalui transformasi besar termasuk merombak struktur, proses dan cara berfikir bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya akan datang serta meremajakan dan membangunkan negara.

    “Kita kini hidup dalam era di mana masyarakat global semakin rapuh, kompleks, sensitif dan sukar dijangka. Thailand sedang memasuki fasa peralihan yang amat kritikal.

    “Dengan pilihan raya umum yang semakin hampir, saya yakin pembaharuan Parti Pheu Thai mesti dimulakan tanpa berlengah.

    “Oleh itu, saya memilih untuk berundur sebagai ketua parti bagi memberi kebebasan kepada parti untuk melakukan pembaharuan dan membina Pheu Thai yang lebih kukuh serta lengkap,” katanya.

    Paetongtarn mengesahkan beliau akan kekal sebagai ahli Parti Pheu Thai dan terus berkhidmat untuk parti serta rakyat Thailand.

    Parti itu setakat ini belum mengumumkan pengganti beliau. – Bernama

    Paetongtarn Shinawatra semasa menghadiri sidang akhbar di Bangkok pada 16 Ogos 2024. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda