(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Amalan menziarahi kubur merupakan suatu amalan yang biasa dibuat oleh masyarakat kita terutama pada musim bulan Ramadan dan Syawal. Antara tujuan orang menziarahi tanah perkuburan ialah untuk mendoakan serta menyedekahkan pahala bacaan ayat-ayat suci al-Qur’an dan pahala bacaan zikir-zikir seperti tahlil, tasbih dan selawat kepada ahli keluarga yang sudah meninggal dunia.
Ini kerana apabila manusia meninggal dunia akan terputuslah pahala amalannya sebab setiap manusia tidak akan berhak apa pun selepas kematiannya melainkan balasan amalan yang dilakukannya semasa dia hidup di dunia. Nabi bersabda yang maksudnya:
“Apabila seseorang mati, maka terputuslah daripadanya amal kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya dan anak yang soleh yang mendoakannya.” (Hadis riwayat Muslim)
Rahmat Allah itu sangat luas, orang yang sudah meninggal itu masih saja dapat menerima rahmat Allah selepas kematiannya kerana Allah boleh mengampunkan dan melimpahkan rahmatNya kepada siapa sahaja yang dikehendakiNya. Firman Allah yang tafsirnya:
“Allah menentukan pengurniaan rahmatNya kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah mempunyai limpah kurnia yang besar.” (Surah Ali-‘Imran: 74)

Kita yang masih hidup boleh menyumbang kebajikan kepada mereka yang sudah meninggal dunia antaranya dengan menghadiahkan atau menyedekahkan pahala ibadat yang kita lakukan seperti bacaan al-Qur’an, zikir-zikir dan doa-doa semasa menziarahi kubur si mati.
Perkara membacakan al-Qur’an dan mendoakan orang yang sudah meninggal dunia itu hukumnya sunat. Ini jelas sepertimana perkataan Imam asy-Syafi‘i yang disebutkan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haithami Rahimahullahu Ta‘ala dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj Bi Syarh al-Minhaj:
“Dan Imam asy-Syafi‘i dan para sahabatnya telah menyatakan bahawa sunat membacakan apa yang mudah di sisi mayat, dan berdoa sesudahnya, kerana (dengan demikian) akan lebih diharap untuk diperkenankan, dan juga kerana mayat itu akan mendapat berkat (daripada) bacaan itu seperti orang hidup yang hadir.”
Namun pada masa ini, ada di kalangan masyarakat kita mempertikai atau mempersoalkan bahawa hadiah pahala bacaan al-Qur’an dan zikir seperti tahlil kepada si mati itu tidak sampai kerana terpengaruh dengan golongan yang berpendapat dan berfahaman amalan-amalan sedemikian tidak sampai kepada si mati. Bahkan mereka mendakwa pendapat tersebut tidak mempunyai dalil dan sandaran.
Mengenai dengan pahala bacaan al-Qur’an, di dalam kitab I‘anah ath-Thalibin ada dihuraikan bahawa pendapat yang mengatakan ‘tiada sampai pahala bacaan kepada mayat’ adalah pendapat yang dha‘if dan pendapat sebahagian sahabat dengan mengatakan ‘sampainya pahala bacaan kepada mayat’ adalah pendapat yang mu‘tamad.
Pendapat sebahagian sahabat dengan mengatakan “Sampainya pahala bacaan kepada mayat” inilah yang mu‘tamad dalam mazhab asy-Syafi‘i. Begitu juga fatwa yang mu‘tamad dari Imam Subki Rahimahullahu Ta‘ala.
Antara dalil yang disebutkan oleh ulama yang menunjukkan bahawa orang yang sudah meninggal boleh mendapat pahala daripada amal orang lain yang masih hidup sama ada dalam bentuk bacaan al-Qur’an, zikir, doa, sedekah dan sebagainya ialah:
Dalil Pertama
Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas RA yang maksudnya:
“Nabi pernah lalu di sebuah kebun di Madinah atau di Makkah, lalu Baginda mendengar suara dua orang yang sedang di azab di dalam kubur mereka. Nabi pun bersabda: “Keduanya sedang diazab dan tidaklah keduanya itu diazab kerana dosa besar.” Kemudian Baginda bersabda: “Bahkan! Salah seorang daripada keduanya tidak bersuci daripada kencing, sedang yang seorang lagi kerana berjalan ke sana ke mari mengadu domba. Kemudian Baginda meminta sebatang pelepah tamar maka dipatahkannya menjadi dua, kemudian Baginda meletakkan patahan pelepah tamar itu ke atas kubur keduanya. Lalu orang pun bertanya: “Wahai Rasulullah mengapakah tuan berbuat demikian? Baginda pun bersabda: “Semoga diringankan kedua (penghuni kubur yang sedang disiksa ini) selama (pelepah) ini belum kering.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullahu Ta‘ala menerangkan maksud hadis ini dalam kitab Fath al-Baari dengan berkata: “Telah dikatakan: Sesungguhnya pelepah itu sentiasa bertasbih selama masih basah. Maka dengan berkat tasbih itu, hasillah keringanan bagi si mati. Kalau tasbih daripada tumbuh-tumbuhan ini memberi manfaat kepada kedua ahli kubur yang diazab, maka lebih utama lagi bacaan zikir dan bacaan al-Qur’an yang kita bacakan kepada mayat.”
Maka dari huraian hadis ini jelas menunjukkan bahawa berkat tasbih daripada tumbuh-tumbuhan boleh memberi manfaat keringanan kepada mayat selagi masih basah. Maka jika tasbih tumbuh-tumbuhan boleh memberi manfaat adalah lebih utama lagi zikir seperti tahlil dan bacaan al-Qur’an yang kita bacakan kepada mayat.
Dalil Kedua
Hadis yang diriwayatkan oleh Ma‘qil bin Yasar RA yang maksudnya:
“Bacakanlah surah Yaasin kepada orang yang akan mati.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Ibnu Rif‘ah Rahimahullahu Ta‘ala berkata dalam Kitab Tuhfah al-Muhtaj Fi Syarh al-Minhaj: “Walaupun hadis ini menyuruh kita untuk membacakan surah Yasin kepada orang yang akan mati, namun boleh juga dibacakan ke atas mayat orang yang sudah mati kerana mayat itu masih boleh mendapat berkat daripada bacaan al-Qur’an seperti juga orang yang hidup, (ini kerana) kalaulah mengucapkan salam ke atas ahli kubur diterima maka adalah lebih utama lagi bacaan ayat-ayat al-Qur’an kepada mereka (ahli kubur).”
Maka hadis ini juga jelas menerangkan bahawa amal orang yang masih hidup boleh memberi manfaat kepada orang yang sudah meninggal dunia.
Dalil Ketiga
Membayar hutang puasa bagi orang yang telah meninggal dunia adalah sunat bagi ahli waris atau selainnya. Perkara ini disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah RA yang maksudnya: “Barang siapa meninggal dunia sedang dia berhutang puasa, maka walinya boleh menggantikan puasanya itu.” (Hadis riwayat Muslim)
Hadis ini menerangkan bahawa seseorang yang meninggal dunia tetapi mempunyai hutang puasa maka walinya sunat membayarkan puasanya. Maksud wali sepertimana diterangkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullahu Ta‘ala ialah kaum kerabat yang dekat atau ahli waris. Inilah pendapat yang telah disepakati oleh para Imam fiqh dan hadits antaranya ialah al-Hasan al-Bashri, Zuhri, Qatadah dan Ibn ats-Tsaur Rahimahumullahu Ta‘ala.
Dalil Keempat
Demikian juga dengan sembahyang ke atas jenazah boleh memberi manfaat kepada mayat itu sepertimana disebutkan dalam sebuah hadis yang maksudnya:
“Barang siapa yang disembahyangkan oleh tiga saf (jema‘ah) maka wajib (baginya mendapat keampunan).” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Jelaslah menurut hadis ini bahawa jika mayat disembahyangkan dengan bilangan keramaian jemaah tiga saf maka si mayat itu berhak mendapatkan keampunan dari Allah Ta’ala.
Jika orang yang bersembahyang jenazah itu sampai bilangannya tiga saf maka mayat itu berhak mendapat keampunan. Sembahyang jenazah itu dilakukan oleh orang yang masih hidup tetapi boleh memberi manfaat keampunan kepada orang yang sudah meninggal dunia. Ini juga dalil bahawa amal orang yang masih hidup boleh memberi manfaat pahalanya itu kepada orang yang sudah meninggal dunia.
Dalil Kelima
Berdoa juga boleh memberi manfaat kepada mayat sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh ‘Usman bin ‘Affan RA yang maksudnya:
“Adalah Nabi ketika telah selesai menguburkan mayat, Baginda berdiri lalu bersabda: “Mohonlah keampunan bagi saudaramu ini, dan mohonlah agar diberi ketetapan (dalam menjawap soalan-soalan kubur), kerana dia sekarang sedang disoal.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Dalam kitab Asnaa al-Mathalib adalah disunatkan bagi sesiapa yang menghadiri pengkebumian mayat di tanah perkuburan ataupun selepasnya supaya berdiri di sisi kubur lalu memohon keampunan kepada Allah dan mendoakan mayat itu sepertimana disebutkan dalam hadis ini, begitu juga membacakan mayat itu ayat-ayat al-Qur’an bahkan jika khatam adalah lebih baik.
Maka jelaslah bahawa doa dari orang yang hidup itu berfaedah untuk orang yang sudah meninggal dunia.
Dalil Keenam
Bersedekah juga boleh memberi manfaat kepada si mati. Perkara ini ada disebutkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullahu Ta‘ala dalam kitab Syarah an-Nawawi ‘Ala Muslim dengan berkata:
“Barang siapa yang hendak berbuat kebajikan kepada ibu bapanya, dia boleh bersedekah untuk keduanya, dan pahala sedekah itu sampai kepada mayat, dan mayat mendapat manfaat daripadanya tanpa ada khilaf (pertikaian) antara kaum muslimin dan inilah pendapat yang benar.”
Imam an-Nawawi Rahimahullahu Ta‘ala seterusnya berkata lagi:
“Adapun yang dikhabarkan oleh Qadhi Abu Hasan al-Mawardi al-Bashri al-Faqih asy-Syafi‘i dalam kitabnya al-Hawi, bahawa sebahagian para sahabat berpendapat bahawa mayat tidak akan menerima pahala sesudah matinya, adalah mazhab bathil (salah) tanpa syak, kesalahannya jelas nyata berlawanan dengan nash-nash Kitabullah, sunnah dan ijma‘ ummat, maka janganlah perhatikan dan cenderung pada (pendapat itu).”
Imam asy-Syafi‘i Rahimahullahu Ta‘ala berkata mengenai luasnya kelebihan atau kemurahan Allah Ta’ala itu dalam perkara sedekah adalah kerana orang yang diniatkan pahala sedekah itu juga akan mendapat pahala.
Para sahabat Imam asy-Syafi‘i Rahimahumullahu Ta‘ala berkata dalam kitab Fath al-Mu‘in bahawa sunat meniatkan sedekah itu untuk kedua ibu bapa kerana Allah Ta’ala akan memberi pahala ke atas keduanya tanpa mengurangkan sedikitpun dari ganjaran pahala sedekah itu.
Maka jelaslah bahawa dengan dalil-dalil yang disebutkan sebelum ini, pahala bacaan al-Qur’an dan zikir seperti tahlil yang kita bacakan itu akan sampai kepada si mati dengan membacakan al-Qur’an dan tahlil itu di sisinya, atau di atas kuburnya, atau pembacanya meniatkan pahala bacaannya itu kepada si mati dan berdoa setelah membaca al-Qur’an dengan menghadiahkan pahala bacaannya kepada si mati.