Pahit, manis kehidupan Neelofa

Populariti dan kilauan bintang pernah menjadi hamparan dalam kehidupan figura popular, Neelofa, 32, sepanjang hampir sedekad bergelar anak seni.

Namun, tidak semua keindahan dikecapi disulami kemanisan. Silih berganti kecemerlangan dan kontroversi mendampingi wanita bernama Noor Neelofa Mohd Noor hingga hari ini.

Sudah hampir satu dekad bintang yang mencipta nama dan populariti menerusi drama Suri Hati Mr Pilot dan Ti Amo Sweetheart 100 Hari itu berdepan onak dan duri.

Cabaran dilalui amat perit, namun, tetap utuh dengan misinya menjadi inspirasi kepada orang ramai. Pernah mengecapi nikmat insan dambaan peminat. Namun, tidak terkecuali, bertalu-talu dibelenggu kritikan dan kecaman.

Kini, tiada apa lagi yang dikejarkan Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-29 itu. Populariti bukan lagi garis ukuran buat pemilik empayar Naelofar Hijab.

Gambar Neelofa menghadirkan diri ke pertunjukan fesyen jenama meraih perhatian apabila menampakkan perut kian membesar. – Agensi

Neelofa berkata, kemenangan sebagai Bintang Paling Popular, ABPBH 29 memberikan impak luar biasa kepada kerjaya seni. Jadi, katanya, tidak hairanlah ramai selebriti mendambakan anugerah tertinggi itu dalam kerjaya.

“Saya akui, kemenangan ABPBH mampu melonjakkan kerjaya seni seseorang, tidak kira pelakon, pengacara, pelawak dan penyanyi.

“Pengalaman saya, kemenangan ABPBH memberi impak positif pada anjakan kerjaya. Dan, sudah tentu meletakkan tanda aras yang tinggi, apatah lagi, ini anugerah berprestij yang ditunggu, saban tahun.

“Ia secara tidak langsung orang bercakap dan pandang kemenangan kita ketika menang ABPBH, terutamanya penggiat industri dan peminat,” katanya. Melihat sejauh ini perjalanannya, Neelofa berkata, dia tidak pernah memikirkan mahu meletakkan noktah pada kerjaya seni, meskipun sibuk melakar lebih banyak kejayaan sebagai usahawan.

“Saya belum terlintas mengambil tindakan drastik mengundurkan diri. Ini kerana kehadiran saya masih mampu memberi manfaat dan inspirasi pada orang luar. Disebabkan itu, saya enggan mempersia-siakan peluang ini. Saya percaya banyak pahala boleh diperoleh menerusi kerjaya seni,” katanya.

Bagaimanapun, wanita kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu berkata, dia kini tidak banyak berkongsi soal peribadinya seperti sebelum berkahwin selepas berdepan dengan ujian yang banyak mengajarnya menjadi manusia lebih berhati-hati.

“Jujurnya, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah waktu paling sukar buat saya. Bukan sahaja melihat ramai yang terkesan, tetapi saya turut merasakan tempias yang sama.

“Saya akui, inilah momen dirasakan kena serangan bertubi-tubi ketika menempuh isu majlis perkahwinan, kunjungan ke Langkawi, langgar prosedur operasi standard (SOP) dan merentas negeri.

“Disebabkan pengajaran dan pengalaman dilalui, saya mengambil langkah drastik apabila pilih perkara yang perlu sahaja untuk berkongsi dalam laman sosial,” katanya.

Mengulas soal kehamilan, Neelofa berkata, dia lebih selesa berkongsi sekiranya sudah selamat melahirkan zuriat pertama.

“Saya faham ramai menantikan khabar baik. Keadaannya juga sama seperti ketika saya mahu berkahwin, sekarang ramai yang bertanya saya mengandung atau sebaliknya.

“Jadi, sekiranya diberikan rezeki, lebih baik sekiranya sudah selamat bersalin barulah berkongsi bagi mengelak banyak hati yang mempunyai hasad, mata tidak sedap memandang dan sebagainya,” katanya.

Dan, katanya, ini adalah keputusan sepakat bersama suami, PU Riz dan keluarganya. – Agensi