Thursday, February 13, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pahlawan hutan lindungi Amazon

    JAVARI, BRAZIL – Di kawasan terpencil di Amazon Brazil yang jadi rebutan nelayan haram, pemburu, pembalak, dan penjenayah dadah, penduduk asli di kawasan tersebut telah mengambil inisiatif untuk mempertahankan tanah dan sumber alamnya.

    Dengan busur, anak panah, dan tombak, para pemuda dari kampung Sao Luis meronda di Sungai Javari dengan menggunakan bot motor di lembah yang sama.

    Mereka menamakan diri mereka sebagai ‘Pahlawan Hutan,’ pewaris yang mempertahankan hak-hak orang asli seperti pembela Bruno Pereira, yang dibunuh di Lembah Javari setahun yang lalu bersama wartawan British, Dom Phillips.

    “Kita harus selalu bersiap menghadapi perkara buruk. Namun, kita tidak menginginkan kekerasan,” kata Lucinho Kanamari, wajahnya dilukis merah, dan menegaskan senjata tradisional tersebut hanyalah ‘langkah berjaga-jaga.’

    “Ketika kami melihat penceroboh, salah satu dari kami akan berbincang dengan mereka. Yang lain akan berada di belakang, bersiap sedia jika ada masalah berlaku,” katanya kepada AFP.

    Kumpulan ‘Pahlawan Hutan’ dari kumpulan etnik Kanamari, meronda di sepanjang sungai Javari di Lembah Javari, di barat laut Amazon Brazil. – Gambar AFP
    Seorang ‘Pahlawan hutan,’ sedang berjaga-jaga dari kumpulan etnik Kanamari, di Lembah Javari di barat laut negeri Amazonas Brazil. – Gambar AFP
    Kumpulan dari kumpulan etnik Kanamari, berkumpul di kampung Sao Luis, di Lembah Javari, di barat laut Amazon Brazil. – Gambar AFP
    Mauro da Silva Kanamary, pemimpin (Cacique) komuniti Kanamari di Sao Luis, di Lembah Javari, di negeri Amazonas barat laut Brazil. – Gambar AFP
    Wartawan asing veteran, Dom Phillips (tengah) bercakap dengan dua lelaki orang asli di Aldeia Maloca Papiu, Negeri Roraima, Brazil. – Gambar AFP

    “Kami di sini untuk mengajar, bertindak sebagai penghalang. Kami berbincang dan memberi penjelasan,” ujarnya.

    Lucinho adalah anggota suku Orang Asli Kanamari, salah satu daripada enam suku Orang Asli di Lembah Javari yang menjadi tempat perlindungan Orang Asli kedua terbesar di Brazil.

    Seperti kebanyakkan yang tinggal di situ, dia mengambil nama keluarganya dari suku yang tinggal di sebahagian hutan hujan seluas Portugal yang mempunyai banyak kelompok Orang Asli yang belum pernah didatangi.

    Para pahlawan yang meronda itu khawatir terutamanya dengan nelayan haram yang mencari ikan pirarucu, salah satu ikan air tawar terbesar di dunia yang isinya dianggap sebagai hidangan istimewa yang sangat mahal.

    Pemburu haram dipercayai telah membunuh Pereira dan Phillips pada 5 Juni lalu, memenggal tubuh mereka dan menyembunyikan mayatnya di hutan.

    Pada suatu ketika, perbuatan jenayah tersebut menarik perhatian antarabangsa di sudut terpencil di dunia yang telah lama diabaikan oleh bekas presiden berhaluan kanan, Jair Bolsonaro dan agenda pro-industri pemimpin itu.

    “Dengan Bolsonaro, dan kemudian COVID, pencerobohan semakin meningkat,” kata Varney Todah da Silva Kanamari, wakil presiden Persatuan Orang Asli Lembah Javari (Univaja).

    “Ketika negara meninggalkan kami, kami harus memikul tanggungjawab… Kami mempertahankan apa yang menjadi milik kami: sungai-sungai dan hutan kami,” katanya.

    Bukan hanya nelayan yang menjadi perhatian pengawal itu.

    Ada juga kumpulan penyeludup dadah yang menanam tanaman koka di tepi sungai di kawasan Peru, dan pada bulan April, pembalak mengancam akan membunuh ketua suku Kanamari, memaksanya untuk melarikan diri.

    Para pahlawan telah membina dua pondok pemerhati kayu terapung di sungai berhampiran kampung mereka di Sao. Salah sebuah pondok tersebut telah diserang.

    Tugas mereka sangat besar dan berbahaya, dengan sumber yang terhad. Mereka hanya memiliki dua bot motor dan bahan bakar yang sedikit.

    ‘Pahlawan’ itu menghindari konflik yang melibatkan kekerasan, dan dalam situasi tegang, mereka berundur dan kembali ke dalam hutan.

    Tanpa kehadiran pasukan kerajaan di kawasan itu, pahlawan Sao Luis bekerjasama dengan kumpulan Orang Asli lain yang dikenali dengan singkatan EVU – satu unit komando yang diikat dengan Univaja. Pereira membantu mewujudkan EVU sebelum kematiannya.

    Ahli-ahli EVU yang terdiri daripada kira-kira 30 orang, dilengkapi dengan bot motor, GPS, dron, telefon, dan internet satelit, sebahagian besar dibiayai oleh dermawan peribadi.

    Mereka tidak membawa senjata.

    Sukarelawan EVU dari pelbagai komuniti di Lembah Javari menjalani latihan oleh NGO dan pakar keselamatan dalam “cara untuk campur tangan, membuat kajian, menyita peralatan atau bot,” jelas pengasas bersama EVU, Cristobal Negredo Espisango yang juga dikenali sebagai Tatako.

    Menurut koordinator Univaja, Bushe Matis, EVU tidak ‘menggantikan peranan negara.’

    “Kami memantau, mengumpul maklumat dan bukti, dan kami menyampaikannya kepada pihak berkuasa yang berkaitan. Biarkan negara menjalankan tugasnya,” ujarnya.

    Pemimpin EVU, Orlando de Moraes Possuelo, menyatakan salah satu matlamat utama adalah ‘untuk menduduki wilayah’ di kawasan yang kaya dengan ikan dan haiwan yang dicari.

    “Kami tiba secepat mungkin untuk menangkap penceroboh yang bertindak, sebelum mereka melarikan diri atau kembali ke Peru,” jelas Orlando yang mana dari segi undang-undang, mereka tidak boleh menahan sesiapa.

    Banyak ahli kumpulan itu telah menerima ancaman.

    “Saya diancam akan dibunuh. Saya tentu takut, tetapi tidak ada pilihan lain,” kata Tatako.

    “EVU adalah satu-satunya organisasi yang benar-benar melawan jenayah terancang di Lembah Javari,” tambahnya.

    Dengan kepulangan Luiz Inacio Lula da Silva, seorang pemimpin berhaluan kiri, kembali menjawat jawatan presiden, ramai penduduk di Amazon berharap bantuan akan segera tiba.

    Baru-baru ini, semasa Brasil menyambut ulang tahun pembunuhan Pereira dan Phillips, Lula berjanji bahawa “kita tidak akan meninggalkan perjuangan ini untuk planet ini.”

    “Kita berjuang untuk menghidupkan semula dasar-dasar perlindungan terhadap Orang Asli dan Amazon,” katanya dalam kenyataan kepada suratkhabar The Guardian, di mana Phillips adalah salah seorang kakitangan.

    Namun, minggu lalu, Kongres Brazil meluluskan rang undang-undang yang mengurangkan kuasa kementerian alam sekitar dan urusan Orang Asli kerajaan Lula serta mengurangkan perlindungan terhadap tanah-tanah Orang Asli dengan ketara. Matis dari Univaja bimbang dengan masa depan.

    “Bencana boleh berlaku pada bila-bila masa. Penceroboh tidak akan mundur: mereka sentiasa ingin menuntut Lembah Javari,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda