Saturday, March 15, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Pahlawan Serigala’ China dilantik duta baharu ke AS

    WASHINGTON, 29 JULAI – Salah seorang diplomat ‘Pahlawan Serigala’ yang paling terkenal di China semalam diumumkan sebagai duta baharu negara itu ke Amerika Syarikat (AS).

    Qin Gang yang agresif dan juga orang kepercayaan Presiden Xi Jinping, tiba di AS ketika ketegangan meningkat antara Washington dan Beijing.

    Gang terkenal melalui tugasnya sebelum ini sebagai jurucakap kementerian luar apabila sering memberikan jawapan tidak masuk akal kepada wartawan asing dan merintis gaya agresif dalam mempertahankan China di media dan media sosial menerusi diplomasi ‘Pahlawan Serigala’.

    “Sebagai dua negara besar yang berbeza dari segi sejarah, budaya, sistem sosial dan tahap pembangunan, China dan AS memasuki babak baharu penerokaan, pemahaman dan penyesuaian serta berusaha mencari jalan untuk saling memahami antara satu sama lain,” kata Gang kepada pemberita ketika ketibaannya ke negara itu.

    Menurut transkrip yang dikeluarkan oleh kedutaan China, beliau yang pernah bertugas sebagai Timbalan Menteri Luar dari 2018-2021, berjanji untuk membawa hubungan AS-China kembali ke landasannya.

    Gang melalui akaun rasmi Twitter berkata, beliau akan memulakan tempoh kuarantin selama 14 hari di kediaman dan akan segera bertugas.

    Gang, yang menemani Jinping dalam banyak tugasan ke luar negara sebagai ketua protokol kementerian luar, adalah antara diplomat yang mempertahankan China dengan bersungguh-sungguh dalam menghadapi kritikan yang semakin meningkat di pentas dunia. – AFP

    Gambar fail menunjukkan Qin Gang bercakap semasa satu acara di Beijing. Qin Gang telah diumumkan sebagai duta baharu China ke Amerika Syarikat kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda