Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    ‘Pahlawan ulama’ perlu diambil kisah

    KUALA TERENGGANU – Filem biografi epik Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan mencetuskan fenomena luar biasa di Malaysia yang bukan sahaja membuka lembaran baharu dalam industri perfileman tempatan tetapi turut mempengaruhi persepsi masyarakat tentang pejuang kemerdekaan negara.

    Mengutip RM90 juta selepas 33 hari ditayangkan di negara ini serta negara tetangga Brunei dan Singapura – tertinggi setakat ini bagi kategori filem tempatan dan antarabangsa – karya arahan pengarah filem terkenal tanah air, Mohd Shamsul Mohd Yusof itu dilihat berjaya meniup semangat patriotik selain menitipkan mesej tersirat tentang peranan ilmuwan agama dalam gerakan menentang penjajah Inggeris.

    Naratif Mat Kilau atau Mat Kilau bin Imam Rasu, pahlawan Melayu yang gah menentang Inggeris lewat 1880an hingga awal 1900an di Pahang, menggambarkan anak jati Jerantut itu sebagai seorang yang tinggi ilmu agama – satu aspek yang menurut pakar jarang diketengahkan dalam buku dan wacana sejarah negara ini.

    Malah kata mereka kebanyakan pahlawan Melayu era berkenaan adalah golongan agamawan dan fakta itu juga tidak begitu diketahui umum.

    Lebih malang lagi pakar melihat pengorbanan ulama terbabit seakan sudah luput daripada ingatan apabila amat payah untuk mendengar kisah-kisah mereka, lebih-lebih lagi ketika menjelang sambutan kemerdekaan.

    Pelbagai sejarah dipamerkan di Muzium Negeri Terengganu untuk tatapan generasi muda. – Bernama
    Pengunjung dapat melihat dengan lebih dekat pelbagai sejarah dan kisah yang dipamerkan di Muzium Negeri Terengganu. – Bernama
    Che Muhamad Azmi Ngah menunjukkan batu bersurat asli dipamerkan. – Bernama
    Pengunjung terutamanya generasi muda dapat melihat sejarah berkaitan ulama Terengganu tersohor yang dipamerkan di Muzium Terengganu. – Bernama

    Perjuangan ulama
    Mengulas mengenai penglibatan ulama dalam perjuangan menentang penjajah, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu Che Muhamad Azmi Ngah berkata agamawan mempunyai peranan yang amat besar ketika zaman kesultanan Melayu sehinggakan orang Inggeris sendiri pernah mengakui sukar untuk mereka menakluki sesebuah negeri selagi sultan didampingi ulama yang bijak.

    “Ulama berperanan sebagai penasihat utama sultan. Sambil berpegang teguh pada ajaran agama Islam, sultan menjalankan diplomasi dengan bijak. Malah sultan sendiri pun pada zaman dahulu merupakan ulama,” kata Che Muhamad Azmi kepada Bernama.

    Antara ulama tersohor yang tercatat dalam lipatan sejarah sebagai pejuang kedaulatan watan ialah Tok Kenali di Kelantan, Tok Janggut (Perak) dan Kiyai Haji Salleh (Johor).

    Di Terengganu pula, antara nama yang gah ialah Abdul Rahman Limbong, Tok Ku Tuan Besar dan Tok Ku Paloh.

    Malah, pakar sejarah setempat percaya Mat Kilau dan tokoh-tokoh berkenaan saling berkait dalam satu jaringan penentang Inggeris di pantai timur.

    Bercerita lanjut, Che Muhammad Azmi berkata ketika pemerintahan Sultan Zainal Abidin III, cendekiawan agama seperti Tok Ku Paloh atau nama sebenarnya Sayyid Abdul Rahman Sayyid Muhammad Al-Idrus, memainkan peranan menasihati sultan dalam menyusun strategi mempertahankan kedaulatan Terengganu.

    Malah katanya masyarakat setempat percaya atas sebab itulah Terengganu menjadi antara negeri terakhir di Tanah Melayu yang dijajah British.

    Kongsi beliau lagi, Tok Ku Paloh bukan sahaja memainkan peranan di Terengganu tetapi turut bersama-sama kerajaan negeri melindungi pendekar tersohor Pahang Datuk Bahaman, Tok Gajah dan anaknya Mat Kilau ketika mereka melarikan diri daripada buruan Inggeris.

    Menurut Che Muhammad Azmi, semasa berada dalam perlindungan kerajaan Terengganu, Mat Kilau dikatakan memanfaatkan peluang itu dengan menuntut pelbagai ilmu daripada Tok Ku Paloh.

    Agama sebagai ejen penyatuan
    “Perlindungan diberikan atas dasar satu agama, satu bangsa nak selamatkan mereka daripada Inggeris bila saudara kita ditindas.

    “Residen British di Pahang, Hugh Clifford menghadap Sultan Terengganu dan mengatakan dia mendapat maklumat pemberontak Pahang ada di Terengganu tetapi Sultan kata Baginda tak pasti… Baginda tak mengaku, Baginda lindung dan inilah tokoh tak didendang tetapi mereka memainkan peranan (menentang penjajah),” ujarnya.

    Bagaimanapun selepas kemangkatan Sultan Zainal Abidin III, kerajaan Terengganu yang kemudian dipimpin oleh Sultan Muhammad Shah II terpaksa akur untuk menerima penasihat Inggeris dan penjajahan British di Terengganu bermula pada pertengahan 1919.

    Sebagaimana yang berlaku di negeri-negeri lain, penjajahan itu memberi impak yang sangat besar terhadap kesejahteraan penduduk Terengganu yang terpaksa menanggung pelbagai bentuk penindasan termasuk pengenaan cukai tanah.

    Jadikan contoh
    Situasi ini mencetuskan rasa tidak puas hati dan marah rakyat yang akhirnya membawa kepada tentangan secara terbuka terhadap penjajah Inggeris dikenali sebagai ‘Gerakan Petani’ pada 1928.

    Menurut pensyarah kanan di Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Prof Madya Dr Abdullah Ibrahim, gerakan itu dipimpin oleh Abdul Rahman Limbong atau nama sebenarnya Abdul Rahman Abdul Hamid.

    “Abdul Rahman Limbong merupakan pejuang Melayu yang juga seorang ulama dan beliau menuntut ilmu agama di Mekah dan kemudiannya pulang ke Terengganu serta menjadi seorang guru agama.

    “Beliau telah memimpin ‘Gerakan Petani’ untuk bangkit menentang (pelbagai penindasan oleh) Inggeris termasuklah ketidakadilan undang-undang cukai yang dikenakan ke atas golongan petani,” kata Abdullah.

    Digambarkan sebagai seorang yang warak, Abdul Rahman Limbong berjaya mempengaruhi penduduk di Terengganu pada masa itu yang rata-rata adalah petani, untuk bangkit bersama-sama menentang Inggeris.

    “Beliau juga digambarkan sejarawan sebagai seorang yang memiliki ilmu agama sangat tinggi dan merupakan anak murid tokoh ulama besar Terengganu iaitu Tok Ku Paloh.

    “Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ini, kita sedikit-sebanyak terhutang budi kepada Abdul Rahman Limbong serta pejuang Melayu lain yang terbabit menentang penindasan British di Tanah Melayu dan cerita mengenai perjuangan ilmuwan agama ini wajar disebarluaskan lagi,” katanya.

    Ujarnya, usaha agamawan terdahulu dalam membebaskan negeri masing-masing daripada cengkaman British sewajarnya dijadikan inspirasi oleh pendakwah hari ini.

    “Agamawan hari ini mesti mementingkan agama, bangsa dan pembinaan negara sepertimana ulama terdahulu tanpa mengharapkan atau bersikap mengejar ganjaran, upah tinggi dalam program yang melibatkan masyarakat.

    “Mereka mesti kembali kepada peranan asal agamawan kerana tanggungjawab mere-ka ialah mencurah ilmu dan ia mesti berdasarkan keikhlasan dan sifat nasionalis sayangkan agama, bangsa dan negara,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...