Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Paip air berusia empat dekad di Labuan bakal diganti

    LABUAN, 12 APRIL – Kerja menggantikan paip air berusia empat dekad dengan jenis besi mulur di pulau bebas cukai ini akan bermula pada Jun.

    Projek yang dikenali sebagai Projek Menaik Taraf dan Mengganti Sistem Agihan Bekalan Air Sedia Ada, di sepanjang Jalan Mohd Salleh dan Jalan Bebuloh dari persimpangan di Jalan Tun Mustapha ke Terminal Minyak Mentah Shell di Kiamsam adalah sebahagian daripada rancangan untuk menggantikan paip lama terutama yang diperbuat daripada simen asbestos.

    Ketua Bahagian Bekalan Air (BBAL) Labuan Trinil Indah Puspita berkata kerja-kerja penggantian paip akan meliputi Jalan Mohd Salleh, Jalan Bebuloh ke Kiansam, Jalan Bukit Besar, sepanjang Jalan Bukit Timbalai, dan kawasan tertentu di sepanjang Jalan Sungai Pagar.

    “Kami sering mendengar tentang paip bocor dan pecah di Labuan kerana sesetengah paip berusia 40 tahun,” katanya Peralihan daripada paip lama ke baharu dijangka siap menjelang 2025.

    Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man dalam jawapannya kepada Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli semasa sidang Parlimen bulan lepas mengumumkan peruntukan kecemasan berjumlah RM3.32 juta sebagai penyelesaian jangka pendek kepada isu paip air bocor yang kerap melanda pulau itu.

    Dana kecemasan itu akan digunakan untuk membaiki komponen mekanikal, elektrik, kebocoran paip dan kerja berkaitan, katanya.

    Sejak awal tahun ini, lebih daripada 35 notis gangguan air di pelbagai lokasi telah dikeluarkan oleh BBAL, yang menjejaskan beribu-ribu pengguna dan ada yang terjejas selama dua minggu berturut-turut.

    Kira-kira 90 peratus bekalan air Labuan adalah melalui saluran paip dasar laut sepanjang 25.7 kilometer dari Sungai Padas. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...