Wednesday, May 14, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Paip bocor punca gangguan bekalan air

    Oleh Pg Fairol RMF

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jun – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan mengesahkan bahawa gangguan bekalan air yang berlaku di Kampung Menunggol, baru-baru ini, adalah disebabkan oleh paip air dasar sungai telah mengalami kebocoran yang serius.

    JKR dalam kenyataan akhbarnya berkata laporan gangguan tersebut diterimanya melalui Talian Darussalam 123 dan telah menjalan-kan pemeriksaan di tempat berkenaan. Dalam hal ini, bagi membolehkan penduduk Kampung Menunggol dan sekitarnya untuk menerima bekalan air, saluran bekalan paip alternatif melalui titian menyeberangi sungai melalui Kampung Bolkiah ‘B’ telah dipasang.

    Kerja-kerja pemasangan injap dan peralatan paip berkenaan telah siap dilaksanakan pada 24 Jun lalu dan bekalan air mula dibekalkan secara perlahan pada 25 Jun 2017.

    Walau bagaimanapun, bekalan air memerlukan sedikit masa untuk pulih seperti sediakala disebabkan beberapa perkara seperti pembuangan ‘air lock’ yang terdapat di dalam sistem paip air yang menyekat penyaluran bekalan air.

    Sehubungan itu, pihak jabatan akan sentiasa membuat pemantauan dan kerja-kerja pemeliharaan bekalan air di Kampung Menunggol dan sekitarnya bagi mengurangkan gangguan bekalan air di kampung berkenaan.

    Dalam pada itu, pihak jabatan berkenaan sekali lagi memohon maaf di atas kesulitan yang dihadapi dan bagi sebarang aduan, orang ramai bolehlah menghubungi pihak jabatan tersebut melalui Talian Darussalam 123, atau emel kepada pro@pwd.gov.bn

    Kerja-kerja pembuangan ‘air lock’ yang terdapat di dalam sistem paip air.
    Kerja-kerja pembuangan ‘air lock’ yang terdapat di dalam sistem paip air.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda